VIDEO seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dipukul di tapak jualan pasar tani di Chukai, Terengganu kecoh menjadi bualan netizen. Bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang ramai, malah kejadian ini turut membangkitkan perdebatan tentang golongan itu serta kedudukan mereka dalam masyarakat. Menurut bekas mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Islam tidak pernah menyisihkan golongan OKU. Malah, terdapat banyak gesaan di dalam Al-Quran yang memberikan perhatian kepada golongan yang kurang upaya. Firman Allah SWT: Maksudnya: Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkanNya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksaNya dengan azab yang tidak terperi sakitnya. [Al-Fath:17] Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata turunnya ayat di atas apabila ayat sebelumnya (Al-Fath, ayat ke -16) menceritakan tentang azab yang pedih bagi mereka yang tidak turut sama dalam berjuang menentang musyrikin lantas bertanyakan golongan-golongan kurang upaya di kalangan mereka seperti buta, tempang kakinya dan yang sakit kepada Rasulullah SAW akan perihal keadaan mereka yang uzur itu untuk turut sama berjuang. Lantaran soalan itu, maka turunlah ayat di atas dengan memberikan keringanan buat golongan yang kurang upaya ini dengan tidak menjadi kesalahan buat mereka untuk tidak menyertai peperangan. Kewajipan menyantuni OKU Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh golongan OKU adalah melibatkan persekitaran, sikap serta mentaliti sesetengah masyarakat umum. Golongan OKU juga berhak dilayan dengan baik seperti insan normal. -Gambar hiasan Mentaliti atau sikap sesetengah masyarakat umum yang menganggap OKU ini sebagai satu bebanan hidup bagi mereka juga menjadikan perjalanan hidup OKU itu sendiri satu cabaran yang perlu mereka atasi. Sikap masyarakat umum yang normal ini amatlah tidak wajar. Sebagai seorang muslim yang beriman, mereka akan melihat konteks OKU ini sebagai ladang untuk menuai pahala dengan menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada mereka. ARTIKEL BERKAITAN: OKU lunyai dibelasah orang ramai lepas rempuh gerai - “Sakit ni, minta maaf” Islam mengajar kita agar tolong menolong ke arah kebaikan dan tanpa syak lagi bahawa membantu dan menyantuni golongan OKU ini termasuk di dalam kebaikan yang perlu disegerakan. Islam juga mengajarkan agar bersikap adil terhadap semua. Islam sama sekali tidak menyetujui jika terdapat sesetengah golongan dinafikan haknya, ditindas dan tidak diendahkan. OKU adalah sebahagian dari masyarakat kita. Sebagaimana mereka merupakan ujian Allah kepada kedua orang tua dan keluarga mereka, mereka juga adalah ujian kepada kita. Dengan segala kekurangan yang mereka miliki serta kelebihan yang ada pada kita, bagaimanakah kita berinteraksi dengan mereka? Apakah kita menggunakan kelebihan-kelebihan kita untuk memudahkan mereka atau apakah kelebihan-kelebihan kita itu mengaburkan mata hati kita terhadap keperluan-keperluan mereka lantas menafikan hak-hak mereka terhadap kita? Bukankah nikmat-nikmat yang kita miliki ini juga merupakan ujian Allah SWT buat kita?