suria

OKU lunyai dibelasah orang ramai lepas rempuh gerai - “Sakit ni, minta maaf”

Lelaki OKU itu dibelasah oleh beberapa individu dalam kejadian pada Jumaat.

TULAR video memaparkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dengan masalah mental dibelasah beberapa individu dalam satu kejadian di pasar tani di Chukai, Terengganu.

Sebelum kejadian, mangsa didakwa menunggang motosikal secara berbahaya ketika orang ramai sibuk membeli-belah di pasar tani tersebut.

Mangsa kemudian dikatakan hilang kawalan apabila motosikal yang ditunggang ditendang oleh seseorang, menyebabkan ia merempuh sebuah gerai makanan sehingga mengalami kerosakan.

Kejadian itu mencetuskan ketegangan apabila mangsa berasa tidak puas hati dan bertanya siapa yang menendang motosikalnya.

Salah seorang netizen berkongsi maklumat bahawa saksi mendakwa ada individu yang menendang motosikal mangsa kerana dia menghalang laluan di kawasan tersebut.

"Dia mengamuk membebel fasal 'siapa terajang (motosikal ditunggang)' berdasarkan komen dekat salah sebuah grup Terengganu.

Mangsa diseret oleh orang ramai selepas merempuh gerai di pasar tani berkenaan.

"Saksi cakap ada orang sepak motosikal pakcik ni sebab lalu lalang kawasan situ. Jadi disepaknya sampai terbabas langgar gerai orang," komen netizen tersebut.

Pertikaman lidah antara mangsa dan peniaga yang gerainya terjejas semakin memuncak sehingga berlarutan kepada keganasan fizikal.

Difahamkan, peniaga tersebut meminta ganti rugi sebanyak RM10,000, namun mangsa tidak bersetuju dan didakwa bertindak provokatif.

"Dari segi perbualan mereka dalam video ni, si peniaga minta RM10,000 ganti rugi. Tapi si OKU tu tak puas hati kenapa sampai RM10,000 sambil buat gaya berlagak dan ‘menganjing’ peniaga.

"Rasanya sebab tu kot mereka bantai (belasah) dia. Tapi itu la, semua dekat situ bodoh belaka. Baik membantai dan dibantai," komen salah seorang netizen.

Dalam video yang tersebar, mangsa dilihat diseret di atas jalan raya dan disepak pada bahagian badan serta kepala sehingga mengalami kecederaan di muka.

"Sakit ni. (Saya) minta maaf," ujar lelaki OKU tersebut ketika diseret oleh dua individu ke hadapan gerai dirempuh.

Bagaimanapun pergaduhan itu dileraikan pihak polis yang tiba tidak lama kemudian dan membawa mangsa keluar dari tempat kejadian.

Komen beberapa netizen di X.

Sementara itu, polis mengesahkan sedang menyiasat kejadian itu yang berlaku di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Terengganu pada Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan, Wan Muhammad Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi.

"Polis menerima laporan seorang lelaki berusia 47 tahun cedera akibat dipukul, dan video kejadian itu turut tular di media sosial.

"Siasatan mendapati lelaki itu yang menunggang sebuah motosikal memasuki kawasan tapak jualan terbabit dan terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan barangan jualan tumpah dan terjatuh.

"Kejadian menyebabkan beberapa individu yang berada di tempat kejadian bertindak memukul mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat malam.

Menurut Wan Muhammad, siasatan polis juga mendapati mangsa adalah OKU kategori ketidakupayaan mental.

"Mangsa dihantar ke Hospital Kemaman dan dirawat sebagai pesakit luar.

"Polis sedang giat mengesan beberapa individu yang terbabit dalam kejadian itu untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu pihak polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Kemaman di talian 09-8592222.

Artikel Lain