suria

Polis tahan remaja, warga emas kes belasah OKU di pasar tani

Video tular menunjukkan keganasan fizikal terhadap OKU.

POLIS menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dipukul di tapak jualan pasar tani di Chukai, Terengganu pada Jumaat malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhammad Wan Jaafar berkata, ketiga-tiga suspek ditahan ketika mereka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman sekitar pukul 8 malam.

“Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 60 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi apabila mangsa yang menunggang motosikal secara tidak sengaja melanggar sebuah gerai jualan di tapak pasar tani berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: OKU lunyai dibelasah orang ramai lepas rempuh gerai - “Sakit ni, minta maaf”

Insiden itu menyebabkan barangan jualan seorang peniaga bertaburan sebelum mangsa didakwa dipukul oleh beberapa individu hingga mengalami kecederaan.

Mangsa yang turut mengalami masalah mental dibawa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Pada Jumaat, tular satu video di media sosial memaparkan seorang lelaki OKU dipukul beberapa individu dalam kejadian di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Terengganu.

Dalam rakaman video tersebut, mangsa dilihat diseret di atas jalan serta ditendang di bahagian badan dan kepala mengakibatkan kecederaan pada muka.

Susulan kejadian, pihak polis menerima laporan berhubung insiden itu dan siasatan kini sedang dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Artikel Lain