suria

7 pekerja syarikat kurier ditahan curi bungkusan pelanggan, kerugian lebih RM20,000

Setiap pekerjaan perlu dilakukan dengan amanah. -Gambar hiasan

TUJUH pekerja syarikat kurier yang disyaki terlibat dalam kecurian bungkusan pelanggan ditahan polis dalam beberapa siri serbuan di Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan.

Tangkapan dari Isnin hingga Jumaat itu membabitkan kerugian berjumlah RM21,818.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata kejadian dipercayai berlaku di gudang syarikat kurier di Taman Cheras Indah, Ampang.

"Kejadian disedari oleh pengurus keselamatan syarikat pada Isnin selepas menerima aduan pelanggan yang menerima bungkusan kosong selepas penghantaran dibuat oleh syarikat kurier.

"Pengurus melakukan siasatan dalaman dan mendapati beberapa pekerja membawa keluar bungkusan dari gudang tanpa urusan pendaftaran keluar barang serta mengesyaki pekerja syarikat telah mencuri bungkusan milik pelanggan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Azam berkata, polis kemudiannya melakukan beberapa serbuan dan menahan enam lelaki serta seorang wanita berusia antara 21 hingga 51 tahun.

Beliau berkata, seorang lelaki dan wanita tempatan yang ditahan telah didakwa di Mahkamah Ampang pada Khamis di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, manakala lima lagi suspek direman empat hari bermula semalam hingga 20 Januari.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 381 dan 380 Kanun Keseksaan.

Artikel Lain