TIGA individu disyaki terbabit jenayah samun dan curi kenderaan ditembak mati polis di Persiaran Kota Emerald, Rawang, Selangor pada Sabtu. Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, polis mengesan kenderaan jenis Toyota Vios dinaiki tiga suspek di lokasi dan cuba menahan mereka. Namun, mereka melepaskan tembakan ke arah polis bagi meloloskan diri. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata polis mengejar suspek kira-kira 750 meter sebelum kesemua mereka ditembak mati. Katanya, identiti dua suspek sudah dikenal pasti, iaitu dua lelaki tempatan berusia 40 dan 43 tahun. Manakala, seorang lagi belum dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui. "Modus operandi dikenal pasti dengan suspek menggunakan kenderaan yang disewa sebelum menukar nombor pendaftaran palsu. "Hari ini, mereka didapati menyewa sebuah kenderaan dan menukar nombor pendaftaran dan kita percaya mereka dalam usaha melakukan satu lagi jenayah," katanya, bercakap kepada media di lokasi kejadian. Mohd Shuhaily berkata, pihaknya menerusi Op Lejang sejak tahun lalu telah mengesan dan menjejaki kumpulan itu yang disyaki aktif dalam kegiatan curi kenderaan, terutama pacuan empat roda (4x4) serta samun. Malah, beliau memaklumkan bahawa polis mengenal pasti pada tahun ini saja, mereka disyaki telah melakukan samun dan curi 17 kenderaan. "Hasil semakan mendapati suspek berusia 40 tahun mempunyai 24 rekod jenayah dengan lima rekod dikehendaki. "Suspek berumur 43 tahun pula mempunyai 44 rekod dengan tujuh rekod dikehendaki untuk kes dadah dan enam rekod dikehendaki untuk kes jenayah," katanya. Hasil pemeriksaan lanjut, beliau berkata, polis menjumpai sepucuk pistol jenis Revolver dan sepucuk pistol semi automatik di dalam kenderaan suspek. "Kita turut menemui dua unit peralatan menyahaktifkan penggera kenderaan, satu wayar, dua topeng muka, satu pemotong wayar dan lima set nombor pendaftaran yang kita percaya palsu. "Selain itu, dua bilah parang, tiga gulung pita pelekat, satu gulung 'double tape' dan satu peket kecil lutsinar yang kita percaya adalah syabu," katanya. Mohd Shuhaily berkata, kumpulan itu dikesan aktif sejak 2018 dan disifatkan 'sangat aktif' melakukan jenayah curi kenderaan. "Dalam tempoh 18 hari saja untuk tahun ini, sebanyak 17 kes curi kenderaan direkodkan di beberapa negeri membabitkan Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Pulau Pinang," katanya.