suria

Risau wuduk terakhir si mati batal, isteri dihalang cium jenazah suami... Rupanya masih ramai tak tahu hukum

Ahli keluarga biasanya akan dipanggil untuk mencium jenazah buat kali terakhir sebelum dikebumikan. -Gambar hiasan

MENGIKUT kebiasaan amalan masyarakat kita, ahli keluarga si mati akan dipanggil untuk mencium jenazah buat kali terakhir sebelum dikafankan.

Namun sehingga ke hari ini, masih ada yang keliru tentang hukum suami atau isteri yang mencium jenazah pasangan masing-masing.

Realitinya, ada ahli keluarga atau orang sekeliling yang turut bertindak menghalang suami atau isteri mencium jenazah pasangan mereka.

Menurut perkongsian Instagram Jom Dakwah, kekhilafan seperti ini sering berlaku dalam masyarakat Melayu.

"Sebenarnya tiada salahnya jika si suami ingin mencium dan memeluk isterinya buat kali terakhir. Walaupun air mata terkena kain kafan, itu bukanlah masalah.

"Tidak ada hadis atau nas yang melarangnya. Pada saat itu, mungkin suami sedang berbisik memaafkan dan menghalalkan segala makan dan minum untuk isterinya.

"Begitu juga, tidak salah bagi isteri mencium jenazah suaminya. Wuduk si mati tidak akan batal kerana dicium oleh pasangan hidupnya. Wuduk hanya batal bagi orang yang masih hidup," menurut pengendali Instagram itu.

People cleaning up grave of their love ones at Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1, Kuala Lumpur. Muslims in Malaysia will observe the Ramadhan or fasting month on Monday, May 6, 2019. RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. -Gambar hiasan

Namun dalam kesedihan untuk berpisah dengan orang yang kita sayang, ahli keluarga si mati dilarang meratap atau meraung di hadapan jenazah.

Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan pula, mencium jenazah boleh dirujuk kepada perbuatan Rasulullah SAW sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Rebutlah peluang mati dalam keadaan baik dengan 10 tanda ini

Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan Saidatina Aisyah R.Anha bahawa baginda SAW mencium jenazah Uthman bin Maz'un iaitu saudara susuan baginda.

Riwayat daripada Saidatina Aisyah R.Anha bahawa beliau berkata: "Aku melihat Rasulullah SAW mencium Uthman bin Maz'un ketika dia meninggal dunia dan aku melihat bahawa air mata mengalir (dari matanya)." [Riwayat Abu Daud]

Justeru, berdasarkan hadis di atas jelas perbuatan mencium jenazah adalah dibolehkan.

Perbuatan mencium jenazah hanya dibolehkan bagi mereka yang sama jantina atau mahram bagi si mati sahaja.

Manakala bagi ajnabi adalah tidak dibolehkan mencium atau menyentuh jenazah tersebut.

Hal ini disebabkan keharusan menyentuh atau mencium seseorang adalah sama ketika dia masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Selain itu, kita mengetahui hukum mencium jenazah adalah sunat sekiranya si mati itu adalah orang yang soleh.

Adapun bagi selainnya maka hukumnya adalah harus dan tidak makruh.

Artikel Lain