suria

Dekorasi raya Suria KLCC tahun ini cukup syahdu! Sarat elemen warisan, batik cap tangan sepanjang 1,710 meter pukau pengunjung

Aras Centre Court dan Esplanade KLCC telah ditransformasikan menjadi taman bougainvillea yang indah.

PENGUNJUNG yang melangkah masuk ke pusat beli-belah Suria KLCC sepanjang musim Aidilfitri tahun ini bakal merasai pengalaman berbeza apabila ruang ikonik itu berubah menjadi taman bougainvillea yang sarat dengan elemen warisan tempatan.

Bermula 27 Februari hingga 5 April 2026, kempen sambutan Aidilfitri di pusat beli-belah berkenaan bukan sekadar memaparkan dekorasi perayaan biasa, sebaliknya mengangkat tradisi dan budaya Malaysia melalui pelbagai pengalaman interaktif.

Sebaik tiba ke Centre Court, pengunjung akan disambut dengan struktur wakaf Melayu tradisional yang menjadi tumpuan utama hiasan.

Pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri proses menenun songket.

Keunikan suasana itu diperkukuhkan lagi dengan pemasangan 1,710 meter kain batik cap tangan yang dihasilkan jenama warisan tempatan, Sofia Iman.

Instalasi kain batik tersebut bukan sahaja menghiasi ruang dalam pusat beli-belah, malah turut merentasi kawasan luar hingga ke Esplanade KLCC, sekali gus menyuntik jiwa tradisi ke setiap sudut sambutan.

Salah satu sudut yang paling menarik perhatian ialah sebuah pondok wakaf yang dijadikan ruang demonstrasi tenunan songket.

Di situ, pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri proses menenun songket oleh artisan mahir dari Terengganu yang dibawa khas ke ibu kota.

Bagi ramai pengunjung, pengalaman melihat proses tersebut secara dekat menjadi satu momen jarang diperoleh, terutama bagi generasi muda yang mungkin hanya mengenali songket melalui pakaian rasmi atau majlis perkahwinan.

Persembahan tarian zapin secara langsung memeriahkan lagi suasana perayaan di Suria KLCC.

Selain seni tekstil, pengunjung turut diajak mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak melalui permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban yang disediakan di ruang khas.

Suasana perayaan turut dimeriahkan dengan persembahan gamelan secara langsung, tarian zapin serta pelbagai bengkel interaktif seperti mencanting batik, gubahan bunga raya dan sesi padanan wangian oleh jenama penjagaan diri The Body Shop.

Pengunjung juga boleh merakam kenangan bersama keluarga di sudut photobooth yang dihias dengan elemen tradisional.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan, kolaborasi bersama jenama warisan tempatan itu bukan sekadar untuk menghias ruang perayaan.

Dekorasi indah untuk pengunjung merakam kenangan.

"Pada Hari Raya ini, melalui kolaborasi signifikan bersama Sofia Iman dan naratif 'Penjaga Warisan', kami bukan sekadar mempamerkan warisan malah sedang memeliharanya. 

"Sempena sambutan Visit Malaysia 2026, kami bangga memainkan peranan dalam mempamerkan jiwa budaya Malaysia kepada dunia, memposisikan Presint KLCC sebagai titik sentuh utama bagi pelancong antarabangsa merasai keaslian warisan kami," ujarnya.

Sementara itu, Pengasas Sofia Iman, Faralina Abdul Wahab berkata, peluang menampilkan karya di Suria KLCC membolehkan kisah di sebalik songket dan batik dikongsi kepada khalayak yang lebih luas.

Keindahan dekorasi dilimpahi cahaya lampu.

 "Apa yang kami pamerkan hari ini adalah kemuncak dedikasi selama bertahun-tahun dalam mengekalkan akar budaya. 

"Kehadiran Sofia Iman di Suria KLCC membuktikan bahawa pelanggan menginginkan interpretasi moden songket dan batik yang boleh digayakan dalam kehidupan seharian. 

"Ini adalah peluang untuk mempersembahkan kisah kami dan menghargai artisan tempatan," katanya.

Dengan gabungan seni, permainan tradisional dan pengalaman budaya, sambutan Aidilfitri di Suria KLCC tahun ini bukan sekadar destinasi membeli-belah, tetapi sebuah perjalanan untuk mengenali jiwa warisan Malaysia.

Artikel Lain