suria

Dilabel antara lokasi seram di Asia... Muzium Perang Pulau Pinang janjikan pengalaman berbeza, jangan lepas peluang rasai pahit getir era dijajah!

Seorang pengunjung merakamkan gambar suasana bangunan di kubu pertahanan Perang Dunia Kedua, yang kini dikenali sebagai Muzium Perang di Batu Maung. - BERNAMA

MENGIMBAU kembali sejarah Perang Dunia Kedua, ia mampu membangkitkan pelbagai peristiwa pahit yang pernah menimpa sebahagian penduduk dunia terutama di negara yang dijajah dan terkesan dengan kemusnahan akibat perang.

Begitu jugalah di Pulau Pinang tidak terkecuali daripada menyaksikan semua itu.

Pulau Mutiara yang dahulunya sebahagian daripada negeri Kedah menjadi penempatan British yang pertama di Semenanjung kerana kedudukannya yang strategik untuk menjalankan aktiviti perdagangan serta menjadi kubu pertahanan regim British ketika Perang Dunia Kedua.

ARTIKEL BERKAITAN: Berita baik buat pencinta alam, dah boleh plan 'serbu' Taman Negeri Rompin... jom rehatkan minda nikmati khazanah semula jadi!

Menurut Pengasas Muzium Perang Pulau Pinang Johari Shafie, kawasan muzium yang terletak di lereng bukit di Batu Maung adalah bekas kubu pertahanan tentera British ketika menakluki Tanah Melayu dengan mempunyai pemandangan laut seluas 320 darjah.

Dibina pada tahun 1930, kubu itu siap sepenuhnya sembilan tahun kemudian dengan menggunakan tenaga banduan yang dihukum mati dari negara-negara jajahan takluk pihak British.

Katanya, pengerahan banduan-banduan akhir digunakan sebagai salah satu taktik tentera British untuk memastikan pembinaan kubu itu kekal sebagai rahsia.



Seorang lelaki melihat keadaan bangunan-bangunan yang dijadikan kubu pertahanan Perang Dunia Kedua.

“Kubu pertahanan yang menelan belanja £40 juta pound ketika itu kemudiannya telah diambil alih oleh tentera Jepun yang diketuai oleh Jeneral Tomoyuki Yamashita pada 16 Disember 1941, setelah lapan hari tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu dengan menaiki basikal melalui Thailand.

“Pihak Jepun memang sasar untuk ambil alih kubu ini kerana ketika itu British mempunyai dua buah meriam yang dibawa khas dari Arsenal berdiameter 15 inci dengan kepanjangan 40 kaki... senjata itu boleh ditembak sejauh 36 kilometer, ” katanya kepada Bernama.

Tapak terbiar

Johari berkata beliau menemui tapak kubu itu pada tahun 1986 sewaktu bekerja sebagai pegawai di Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (kini dikenali sebagai Tourism Malaysia) Wilayah Utara dan tapak itu terbiar setelah pengunduran Tentera Jepun dari Tanah Melayu pada 1945.

Jelasnya, kerana minat yang mendalam terhadap sejarah dan warisan negara, beliau mengambil keputusan untuk 'mengubah' tapak kubu terbiar itu kepada muzium dan seterusnya menyatakan hasrat itu kepada kerajaan persekutuan untuk menjadikan tapak itu sebagai produk warisan Perang Dunia Kedua dalam bentuk muzium.

“Bagaimanapun usaha itu tergendala, namun saya tidak berputus asa. Saya kemudian memperbaharui kertas-kertas kerja dan membuat permohonan baharu kepada kerajaan persekutuan dan negeri untuk mewujudkan sebuah muzium perang di Pulau Pinang.

“Setelah tujuh tahun berhempas pulas, akhirnya pada 30 Mac 2002 saya mendapat kebenaran untuk membangun, membina dan mengurus sebuah muzium perang di negeri ini.



Antara peralatan peninggalan sejarah yang dipamerkan di kubu pertahanan.

“Saya menggunakan dana peribadi daripada syarikat saya dan keluarga untuk membangunkan muzium perang ini. Pada permulaan, saya membelanjakan RM5 juta dan secara keseluruhannya ia menelan belanja RM22 juta secara berperingkat, ” katanya.

Tambah Johari, beliau mengambil masa selama beberapa tahun untuk membersihkan tanah seluas 7.83 hektar (19.36 ekar) itu yang telah terbiar lebih 60 tahun yang dipenuhi dengan jerangkap samar dan hutan belukar.

“Kita cuba memelihara landskap kubu seperti yang dibina oleh British. Walaupun jalan (ruang jalan kaki) lama, tetapi ia mempunyai 'authentic value' yang tidak boleh didapati di mana-mana. Ia juga boleh dijadikan sebagai 'physical evidence' kepada Malaysia jika kita mahu tuntut pampasan perang daripada Britain, ” kata Johari.

Misteri yang tersemardi

Bunyi derapan kaki berkawad, bau seakan wangian dan kadang kala seakan bau minyak tanah serta penampakan lembaga misteri antara kisah mistik yang sering diutarakan oleh pekerja, pengusaha malah pengunjung Muzium Perang Pulau Pinang.

Johari berkata sewaktu kerja-kerja pembersihan dilakukan, beliau menemui 5,000 pucuk senapang yang digunakan oleh tentera Jepun setelah menakluki Tanah Melayu, senjata-senjata tajam, kelongsong peluru, tulang-tulang manusia, terowong bawah tanah, menara tinjau, berek dan lokap, selain bangunan kubu yang telah ditimbus.

Setelah diambil alih oleh tentera Jepun, tempat itu kemudiannya menjadi saksi kepada segala kekejaman tentera Jepun sepanjang menjajah Tanah Melayu ketika itu.

Sejak mengambil alih kubu pertahanan itu, ia dijadikan tempat menyeksa, membunuh serta transit kepada tahanan perang sebelum dihantar ke Kanchanaburi, Thailand membantu menyiapkan landasan kereta api maut.



Pelawat tidak melepaskan peluang merakamkan gambar semasa berada di dalam kubu bawah tanah.

“Jeneral Yamashita telah mengarahkan tahanan perang yang dibawa secara berperingkat dari China, Indo-China, selatan Thailand dan Tanah Melayu untuk diproses berdasarkan saiz, jantina dan kepakaran bukan sahaja ke Kanchanaburi malah ada juga yang dijadikan buruh paksa di lokasi jajahan Jepun dan kamikaze.

“Kubu pertahanan itu yang kini dikenali sebagai Muzium Perang Pulau Pinang menjadi saksi kepada pertumpahan darah, air mata serta derita penyeksaan nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Tahanan perang ketika penjajahan Jepun tanpa belas kasihan dirogol, diseksa dan dibunuh di situ, ” jelas Johari.

Bangunan jana kuasa yang dibina oleh tentera British di dalam kubu itu telah digunakan sebagai bilik penyeksaan dan sehingga kini mampu membangkitkan perasaan seram dalam kalangan pengunjung dan dikhabarkan bau seakan minyak tanah itu datang dari kamar itu.

“Dahulu, terowong bawah tanah sedalam 100 kaki ini digunakan untuk menyimpan peluru dan senjata api. Namun, ketika Jepun mengambil alih kubu ini, tahanan perang yang dihukum bunuh digantung sehingga mati kemudian dipancung sehingga badan mangsa jatuh ke dasar (terowong).

“Kepala mayat yang tidak dituntut akan dipaparkan di jalan-jalan utama dengan tujuan menakut-nakutkan rakyat Tanah Melayu, ” katanya.

Tulang-tulang yang dijumpai di kawasan muzium yang berkemungkinan kepunyaan tahanan perang dan mangsa bunuh mahupun askar Jepun sendiri telah ditanam oleh Johari di sebuah tempat rahsia sebelum membuka kawasan itu kepada orang ramai.

Tidak hairanlah National Geographic Channel, yang merakamkan siri dokumentari berjudul “I Wouldn’t Go in There” (Saya Tidak Akan Masuk Ke Sana) di kawasan muzium pada Mei 2013, melabelnya sebagai satu daripada kawasan paling berhantu di Asia.



Antara peralatan lama yang ditemui dipamerkan di Muzium Perang.

Tempat pelancongan yang berilmiah

Beliau berharap rakyat Malaysia khususnya generasi muda agar tidak mengabaikan sejarah dan warisan negara supaya sejarah tidak akan berulang lagi.

Bayaran masuk ke muzium itu, yang dibuka kepada awam pada 2002, ditetapkan RM22 untuk dewasa dan RM12 untuk kanak-kanak warganegara Malaysia, dan pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman berada di muzium itu.

“Bagi pelancong luar negara akan dikenakan bayaran RM38 (dewasa) dan RM17 (kanak-kanak). Manakala bagi pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti masing-masing dikenakan bayaran RM10, RM15 dan RM20 dengan kumpulan tidak melebihi 40 orang.

“Kami juga membuka peluang kepada golongan yang tidak berkemampuan yang ingin melawat muzium dengan mengenakan caj sebanyak RM5 untuk menggalakkan rakyat merasai sendiri pengalaman di muzium ini, ” katanya.

Selain itu, Muzium Perang Pulau Pinang juga menyediakan pakej lawatan pada waktu malam, namun perlu menempah lebih awal melalui talian 016-421 3606 dengan bilangan penyertaan sekurang-kurangnya 40 orang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain