suria

Covid-19: Rakyat dilarang ke luar negara, pelancong disekat masuk ke Malaysia

Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara dan pelancong ke negara ini.

JUMLAH kes di negara ini terus meningkat sementara senario global menunjukkan kenaikan kes melepasi angka 100,000 dengan kematian lebih 4,000 rang setakat ini.

Susulan itu kerajaan Malaysia mengambil pendekatan lebih serius bagi mengawal Covid-19 ini daripada terus merebak.

Terbaharu, Malaysia melaksanakan sekatan menyeluruh semua perjalananan rakyat negara ini ke luar negara dan kemasukan pelancong ke negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN:  Batal percutian ke luar negara kerana Covid-19? Jangan bimbang, Malaysia banyak tempat menarik termasuk 4 lokasi ini

Bagi yang baru pulang dari luar negara pula, mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

Kuarantin selama 14 hari bagi yang baru pulang dari luar negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara berikutan peningkatan kes Covid-19 yang meningkat mendadak sejak beberapa hari lalu. 

Sehingga 17 Mac (Isnin) dilaporkan sebanyak 125 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan seramai 553 orang termasuk kes aktif 511 dan 42 orang pesakit telah sembuh.

Sementara itu, kerajaan sedang dalam proses untuk membawa pulang seramai 388 rakyat Malaysia yang dilaporkan masih berada di Iran dan Itali, susulan penularan Covid-19 yang semakin kritikal di dua negara berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan telah melaksanakan sekatan perjalanan untuk tiga wilayah di China iaitu Hubei, Jiangsu dan Zhejiang selain Hokkaido (Jepun), Itali, Iran dan Korea Selatan.

Sebagai persediaan menghadapi situasi yang lebih serius, kerajaan akan terus mempertingkatkan pelaksanaan saringan di pintu masuk antarabangsa, menjalankan sekatan perjalanan dari negara terbabit dan menyediakan laluan khas untuk pelawat dari negara berkenaan.

Kerajaan Malaysia terus melaksanakan sekatan perjalanan ke Hokkaido, Jepun.

Menurut Muhyiddin, rakyat Malaysia dinasihatkan tidak melakukan perjalanan ke negara-negara yang terjejas dengan virus Covid-19 berikutan dengan trend kes sedia ada, wabak ini dijangka berterusan untuk tempoh masa agak lama.

Dalam masa sama, bagi kapal persiaran hanya dibenarkan berlabuh untuk penambahan bekalan dengan hanya kru warganegara Malaysia dibenarkan turun dari kapal dan mereka dikehendaki melalui saringan kesihatan.

Selain itu, Khamis lalu Malaysia Airlines turut mengambil langkah menggantung sementara penerbangan ke Seoul membabitkan laluan dua hala bermula 13 Mac hingga 31 Mac susulan Covid-19.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Malaysia mengenakan sekatan perjalanan kepada semua rakyat Iran, Itali dan Korea Selatan manakala rakyat Malaysia yang pulang dari negara berkenaan akan dikenakan kuarantin selama 14 hari.

Dalam perkembangan negara lain, Arab Saudi telah melaksanakan peraturan menggantung penerbangan antarabangsa dalam tempoh dua minggu dan dianggap sebagai cuti umum kepada warganegara yang tidak dapat pulang atau dikuarantin selepas mereka kembali ke Arab Saudi, memetik sumber Kementerian Dalam Negeri.

Arab Saudi menggantung penerbangan antarabangsa selama dua minggu.

Riyadh menggantung penerbangan ke seluruh negara Kesatuan Eropah serta 12 lagi negara di Asia dan Afrika.

Sementara itu, Thailand turut  menggantung kemudahan visa semasa ketibaan (VOA) untuk 19 negara dan wilayah termasuk China dan India sebagai langkah membendung penularan Covid-19 di negara berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Jeneral Anupong Paochinda berkata, pengecualian visa juga akan dibatalkan untuk Korea Selatan, Itali dan Hong Kong.

Kemudahan VOA digantung untuk warga dari 19 negara dan wilayah iaitu Bulgaria, Bhutan, China, Cyprus, Ethiopia, Fiji, Georgia, India, Kazakhstan, Malta, Mexico, Nauru, Papua New Guinea, Romania, Rusia, Arab Saudi, Taiwan, Uzbekistan dan Vanuatu.

Beberapa buah negara menggantung penerbangan antarabangsa susulan Covid-19.

Bagaimanapun, penggantungan VOA akan berkuat kuasa sehari selepas penyiaran jurnal awam Warta Diraja.

Anupong berkata, pengunjung dari kawasan yang dilanda penyakit seperti China, Hong Kong, Macau, Korea Selatan, Itali dan Iran perlu memohon visa serta sijil perubatan untuk membuktikan mereka bebas dari Covid-19 sebelum menaiki penerbangan ke Thailand.

Artikel Lain