suria

Covid-19: Kaki ‘travel’ boleh bincang dengan pihak hotel untuk tuntut semula wang

Ramai yang telah membatalkan tempahan percutian tahun ini berikutan Covid-19.

PELBAGAI langkah diambil kerajaan bagi mengelak penularan Covid-19 yang kini telah mencatat lebih 500 kes di Malaysia.

Antara langkah yang diambil oleh pihak kerajaan dengan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (restriction of movement) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:  Covid-19: Rakyat dilarang ke luar negara, pelancong disekat masuk ke Malaysia

Ia termasuk melaksanakan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat negara ini ke luar negara dan kemasukan pelancong ke negara ini.

Malah larangan juga bagi pergerakan seseorang antara negeri.

Mereka yang telah membatalkan tempahan percutian boleh berbincang dengan pihak hotel atau ejen pelancongan untuk pengembalian wang.

Menerusi edaran FAQ oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa, ia turut menyenaraikan soal jawab yang mungkin menjadi persoalan orang ramai selepas kerajaan memperkenalkan larangan berkenaan.

Malah bagi 'kaki travel' yang sudah membuat tempahan awal untuk percutian masing-masing, ia mungkin menimbulkan kebimbangan jika bayaran penempahan sudah dibuat. 

Dalam hal ini, orang ramai digalakkan untuk berbincang terus dengan pihak hotel untuk mendapatkan semula wang tempahan yang telah dibuat sebelum perintah ini diumumkan.

Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan bermula Rabu (18 Mac) sehingga 31 Mac 2020.

Perintah ini terpakai di seluruh Malaysia di mana ia berkuatkuasa setiap masa tanpa tempoh waktu tertentu.

Malaysia melaksanakan sekatan menyeluruh semua perjalanan ke luar negara dan kemasukan pelancong ke negara ini.

Terdapat enam arahan yang terkandung dalam perintah tersebut antaranya; larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan, sekatan perjalanan dan penutupan sekolah serta institusi pendidikan pelbagai peringkat.

Semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services).

Selain itu, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) meminta pembekal perkhidmatan pelancongan terutamanya syarikat penerbangan dan hotel mengenepikan caj pembatalan biasa.

Ini bagi mengelakkan ejen pelancongan mengalami kerugian berganda, berikutan pembatalan atau menunda percutian akibat Covid-19.

Presiden Matta, Datuk Tan Kok Liang dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, pembatalan ini menyebabkan operator pelancongan menanggung kerugian dianggarkan berjumlah RM500 juta yang telah dikutip daripada pelanggan untuk pakej pelancongan selepas bulan Februari.

Keadaan lengang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur berikutan Covid-19.

Katanya, Matta menerima aduan daripada ejen pelancongan berikutan amalan tidak sama oleh syarikat penerbangan yang bukan sahaja tidak adil kepada ejen pelancongan tetapi mengelirukan orang ramai.

Ini termasuk tawaran bayaran balik secara penuh atau sebahagian, kepada penumpang yang menempah secara terus dengan mereka, tetapi tidak kepada ejen pelancongan yang telah membuat tempahan berkumpulan.

Tan juga berkata, dalam kebanyakan kes, syarikat penerbangan dan hotel tidak memberikan bayaran balik bagi pembatalan tempahan dan jika ada mungkin diberikan dalam bentuk kredit yang memerlukan pelanggan menempah tiket penerbangan atau bilik (hotel) dalam tempoh masa ditentukan syarikat penerbangan dan hotel tersebut.

“Para pelanggan yang mahu mendapatkan pembayaran balik penuh adalah tidak mengikut amalan biasa industri global, yang menetapkan pembayaran perlu dibuat terlebih dahulu untuk mendapatkan tempahan dan sebarang pemulangan adalah tertakluk kepada polisi pembatalan pembekal, seperti syarikat penerbangan, hotel atau taman tema.

“Di Malaysia, ramai pelanggan telah membuat pembayaran penuh untuk pakej pelancongan, terutama dari Februari hingga Jun, manakala ejen pelancongan pula telah membayar kepada syarikat penerbangan, hotel dan pembekal lain, bagi pihak pelanggan mereka,” katanya.

Justeru orang ramai boleh berhubung dengan hotel masing-masing untuk mengetahui pendekatan diperkenalkan mereka dengan pengumuman larangan ini.

Malaysia melaksanakan sekatan menyeluruh semua perjalanan ke luar negara dan kemasukan pelancong ke negara ini.

Artikel Lain