suria

Kota Venice lumpuh, ibarat bandar berhantu... Air laut mula jernih, ikan berenang-renang

Sungai di Venice kelihatan tenang tanpa sebarang aktiviti.

WABAK Covid-19 yang melanda Itali telah membuatkan kerajaan negara itu menutup pintu masuk kepada pelancong asing.

Arahan itu membuatkan destinasi pelancongan popular negara itu sepi termasuklah Venice yang ketika ini diibaratkan seperti bandar berhantu.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Rakyat dilarang ke luar negara, pelancong disekat masuk ke Malaysia

Ia berikutan, destinasi pelancongan tersohor itu diberi status zon merah (berbahaya) selain semua hotel, restoran dan kafe ditutup.

Keadaan di perairan Venice tenang.

Penduduknya juga diarahkan untuk tidak keluar daripada rumah jika tiada sebarang urusan bagi mengelak penularan wabak itu.

Namun di sebalik itu, ia nampaknya memberi kesan positif kepada kawasan perairan Venice yang sebelum ini tercemar disebabkan ia digunakan sebagai laluan utama bot serta gondola.

Itu belum lagi tentang sikap segelintir masyarakat serta pelancong yang gemar membuang sampah ke laut membuatkan pemandangannya cukup menyakitkan.

Semua aktiviti di perairan Venice tidak dibenarkan.

Kini hampir sebulan, perairan Venice kelihatan cukup berbeza malah lautnya nampak begitu bersih dan airnya bertukar menjadi jernih. Malah penduduk di situ memberitahu mereka kini boleh nampak ikan berenang yang dianggap perkara mustahil sebelum ini.

Menerusi laman Facebook Venezia Pulita (Venice Bersih), ramai berkongsi foto ikan berenang selain burung-burung mula datang hinggap di sekitar Venice.

Venice yang terletak di daerah Veneto, mencatatkan kes Covid-19 ketiga tertinggi di Itali iaitu sebanyak 3,214 kes dengan kematian keempat terbanyak, 94 kes.

Manakala daerah Lombardy di barat Itali paling teruk terjejas dengan 17,713 kes positif manakala 1,959 daripadanya maut.

Venice, Lumpuh, Itali, Covid-19

Artikel Lain