suria

Jom serbu Hoi An! Bukan sahaja shopping, tempah baju pun cepat siap... kalau nak ketenangan boleh je santai di pantai Da Nang

Persisiran pantai Da Nang mempunyai pemandangan yang indah dan tersusun.

RATA-RATA rakyat Malaysia gemar ke Ho Chi Minh atau dahulunya dikenali sebagai Saigon kerana tarikan utamanya sebagai syurga membeli belah terutama bagi mereka yang ingin membeli pakaian dan kain pada harga murah. 

Namun, terdapat beberapa lagi bandar di Vietnam yang belum diterokai sepenuhnya oleh pelancong, antaranya bandar Hoi An dan Da Nang yang terletak di antara bandar Hanoi dan Ho Chi Minh.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa salahnya cuti-cuti Malaysia, macam-macam ada!

Bandar Hoi An kini menitip di bibir pelancong sebagai syurga membeli-belah khususnya bagi mereka yang ingin menempah baju seperti three piece suit, gaun atau apa jua rekaan pakaian mengikut citarasa masing-masing.

Terdapat pelbagai cenderamata yang sesuai untuk dijadikan buah tangan.

Dengan harga yang berpatutan dan dalam tempoh sehari atau beberapa jam sahaja pakaian yang ditempah mampu disiapkan dan ini menjadikan bandar Hoi An sebagai destinasi penggemar fesyen.

Bandar ini juga merupakan antara bandar tersibuk di Vitenam malah ia digelar Kota Kuning Vietnam termasuk diwartakan sebagai bandar purba oleh UNESCO pada  1999.

Ia sesuai dengan landskapnya yang penuh dengan bangunan-bangunan lama serta bersejarah yang tidak putus menerima kunjungan pelancong.

Pantai Cua Dai sesuai bagi pelancong yang inginkan ketenangan.

Bagi mereka yang bergelar foodie juga akan bertumpu ke bandar ini kerana pilihan makanan tempatan yang dijual di sekitar bandar ini. Anda perlu mencuba Bahn Mi sejenis makanan roti tempatan dan dumpling.

Namun, di sebalik kesibukan bandar purba ini, Hoi An juga mempunyai sisi kedamaian yang dicari oleh pelancong. Pantai Cua Dai merupakan antara kawasan bagi mereka yang ingin menikmati percutian mewah dan eksklusif di Hoi An.

Antara penginapan yang sentiasa menjadi pilihan pelancong apabila berkunjung ke kawasan ini ialah Sunrise Premium Resort yang terletak hanya 10 minit memandu dari kesibukan bandar Hoi An.

Pantai My Khe yang terletak di Bandar Da Nang.

Puas menyelusuri kota purba Hoi An, pilihan seterusnya tentulah bandar Da Nang yang hanya mengambil masa 15 minit perjalanan dengan menaiki kereta.

Bandar yang dahulunya merupakan bekas kem tentera Amerika Syarikat ketika perang Vietnam-US ini merupakan antara destinasi pelancongan utama bagi mereka yang ingin menghabiskan percutian di tepi pantai bandar moden ini.

Antara pantai yang terkenal di bandar Da Nang ialah Pantai My Khe dan Lang Co. Selain bersantai di pantai pengunjung juga mempunyai pilihan untuk melawat tempat-tempat menarik sekitar Da Nang untuk koleksi foto Instagram anda seperti Dragon Bridge dan Marble Mountains.

Ala Carte Hotel memiliki kolam renang tertinggi di Vietnam.

Urusan penginapan juga amat mudah bagi mereka yang berkunjung ke bandar ini kerana terdapat pelbagai pilihan hotel di sepanjang 30 kilometer pantai Danang.

Bagi mereka yang melancong bersama keluarga atau dengan rakan-rakan yang memerlukan ruang yang luas dan dapur untuk memasak.

Ala Carte Hotel adalah antara pilihan yang tepat kerana lokasinya yang strategik iaitu di sepanjang pantai My Khe dan juga hanya beberapa minit berjalan ke bandar Da Nang. Selain itu sekiranya anda ingin berfoto di kolam renang tertinggi di Vietnam maka inilah tempatnya.

Jadi tunggu apa lagi? Pastikan Hoi An dan Da Nang menjadi pilihan destinasi melancong anda apabila anda merancang untuk ke Vietnam.

***Jika anda mempunyai pengalaman dan tip pelancongan menarik untuk dikongsi, kirimkan kepada kami di [email protected] 

Da Nang, Vietnam, Destinasi, Melancong, Hoi An

Artikel Lain