Jom rebut tawaran diskaun 30 peratus Melaka River Cruise... hanya untuk pelancong Malaysia! - Destinasi | mStar

Jom rebut tawaran diskaun 30 peratus Melaka River Cruise... hanya untuk pelancong Malaysia!

Pemandangan indah landskap bandaraya Melaka ketika menaiki Melaka River Cruise.

PERBADANAN Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menawarkan potongan harga tiket sebanyak 30 peratus bagi perkhidmatan bot Melaka River Cruise (MRC) sepanjang bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Azlan Abidin berkata, tawaran diskaun harga tiket itu bagaimanapun hanya melibatkan pengunjung dari dalam negara.

Katanya, langkah itu merupakan salah satu usaha bagi menarik lebih ramai pelancong domestik berikutan jumlah kedatangan pelancong yang berkurangan sejak Februari lepas akibat penularan wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Batal percutian ke luar negara kerana Covid-19? Jangan bimbang, Malaysia banyak tempat menarik termasuk 4 lokasi ini

"Dengan menyediakan potongan harga sebanyak 30 peratus ini pihak PPSPM berharap pengunjung akan bertambah dan orang ramai dialu-dialukan untuk datang ke Melaka sekali gus menggunakan perkhidmatan MRC dengan tawaran harga istimewa.

Pemandangan waktu malam cukup mengasyikkan. 

"Selain menikmati pemandangan yang indah sepanjang menyusuri Sungai Melaka, pengunjung juga boleh menyaksikan sendiri keadaan air Sungai Melaka yang bersih," katanya.

Azlan berkata bagi pengunjung yang membeli tiket melebihi RM50, mereka layak untuk menyertai peraduan cabutan bertuah bulanan yang menyediakan pelbagai hadiah lumayan seterusnya hadiah cabutan bertuah tahunan yang menawarkan hadiah utama berupa sebuah kereta Perodua Alza, motosikal Yamaha  Y15ZR serta lapan hadiah misteri.

Katanya lagi, pihak pengurusan MRC turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan penutup hidung dan mulut kepada semua pengunjung selain menyediakan pencuci tangan untuk kegunaan pengunjung dalam usaha mencegah wabak itu. - Bernama

Artikel Berkaitan