Batal percutian ke luar negara kerana Covid-19? Jangan bimbang, Malaysia banyak tempat menarik termasuk 4 lokasi ini - Destinasi | mStar

Batal percutian ke luar negara kerana Covid-19? Jangan bimbang, Malaysia banyak tempat menarik termasuk 4 lokasi ini

Rumah Pangjang di Sarawak antara lokasi yang boleh dilawati.

KETIKA ini ramai membatalkan atau menangguhkan perjalanan ke luar negara berikutan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

Bagaimanapun anda sebenarnya mempunyai pelbagai pilihan lain termasuk percutian di dalam negara yang tidak kurang hebatnya.

Ketika pelancaran booklet MYexperience oleh Tourism Malaysia baru-baru ini, ia memperlihatkan 500 pakej percutian oleh 109 pemain industri menawarkan pelbagai pakej menarik.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu lagi masuk hutan... Kini boleh glamping dalam bandar

Dalam booklet itu ia terbahagi kepada 23 segmen termasuklah pengembaraan, pelancongan agro, lawatan bandar dan beli-belah, berbasikal, menyelam, laluan makanan, spa, warisan, homestay, pulau dan pantai, pelancongan sukan dan bulan madu.

Ini adalah beberapa lokasi yang boleh anda lawati di Malaysia sebagai ganti pembatalan percutian ke luar negara;

1. Gunung Irau, Pahang

Dengan cuaca yang dingin serta keindahan flora luar biasa, anda mungkin akan berasa seperti di New Zealand jika berkunjung ke Gunung Irau, Pahang.

Dengan ketinggian 2,110 meter, ia adalah gunung tertinggi di Cameron Highlands. Lumut dan tumbuh-tumbuhan parasit pada pokok serta awam rendah membuatkan ia dipanggil sebagai hutan lumut.

Di sini jika bernasib baik anda berpeluang melihat orkid liar, cendawan dan periuk kera. Kawasan ini agak berlumpur dan biasanya suhu serendah 20 darjah celcius.

Sebelum mendaki, anda perlu memohon permit dan mengupah pemandu pelancong.

2. Rumah Panjang, Sarawak

Menyelami kehidupan masyarakat Iban di perkampung Orang Asli di Sarawak juga boleh dijadikan aktiviti bersama teman atau keluarga.

Interaksi bersama penduduk tempatan serta melakukan aktiviti kebiasaan mereka dapat memberi pengalaman baharu.

3. Pengembaraan luar pesisir pantai

Bagi yang minat aktiviti menyelam anda boleh menjelajah bangkai kapal serta menyelami kehidupan marin di Pulau Perhentian, Terengganu.

Kursus dan kelengkapan menyelam juga turut disediakan. Bagi yang ingin mengabadikan kenangan, ada juga perkhidmatan fotografi di bawah air. Tak suka menyelam, boleh cuba aktiviti sukan laut lain seperti snorkeling atau berkayak.

4. Pelajari sejarah

Cara terbaik untuk mempelajari tentang budaya dan sejarah adalah dengan mengadakan lawatan ke tapak warisan. Seperti di Melaka, anda boleh menggunakan basikal untuk mendalami aspek sejarah di negeri itu.

Terokai kawasan luar bandar termasuk ladang kelapa sawit, getah, sawah padi serta kampung nelayan bagi memahami budaya setempat. Tak suka berbasikal, boleh juga berjalan kaki di sekitar kawasan tumpuan sejarah di Melaka.

Covid-19 , Destinasi , Pulau Perhentian , Melaka

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan