SISTEM Transit Aliran Massa (MRT) Malaysia mendapat pujian daripada sepasang pelancong British yang menyifatkannya seabagai lebih bersih, murah dan moden berbanding London Underground.
Pasangan itu yang memuat naik pengalaman mereka di TikTok [Tonton Video] berkata mereka sering menggunakan MRT semasa bercuti di Kuala Lumpur.
Menerusi video 58 saat itu, mereka membuat perbandingan dengan rangkaian kereta api bawah tanah di negara asal, United Kingdom (UK).
Antara perkara pertama yang menarik perhatian mereka ialah penggunaan teknologi canggih, seperti skrin paparan laluan tren dan stesen akan datang di setiap gerabak, memudahkan navigasi.
Mereka juga kagum dengan kewujudan gerabak khas untuk wanita sesuatu yang tiada di London Underground.
Selain itu, mereka memuji ciri keselamatan seperti pintu penghadang platform dan jarak minimum antara tren dengan platform, berbeza dengan amaran Mind the gap yang biasa kelihatan di London.
Pasangan itu turut menghargai sistem MRT yang automatik sepenuhnya dan tidak memerlukan pemandu, sekali gus mengelakkan risiko gangguan perkhidmatan akibat mogok pemandu seperti yang kerap berlaku di London.
Pelancong terkejut MRT bukan sahaja bersih tetapi turut menyediakan gerabak khas untuk wanita.
Namun, mereka mengakui proses membeli tiket agak rumit kerana perlu menggunakan mesin tiket untuk mendapatkan token dengan ada mesin yang menolak wang tunai.
Walaupun Malaysia mempunyai kad Touch ‘n Go yang berfungsi seperti kad Oyster di London, mereka tidak sempat mendapatkannya sebelum perjalanan.
Tidak seperti di London, perkhidmatan London Underground membolehkan pengguna ‘tap’ kad bank tanpa sentuh.
Bagi mereka, harga tambang yang hanya separuh daripada kos di London adalah satu kelebihan besar.
Mereka juga kagum dengan kebersihan tren dan stesen, serta kemudahan penyaman udara di setiap gerabak sesuatu yang jarang ada di London Underground.
Di akhir perjalanan, pasangan itu sepakat bahawa MRT Malaysia bukan sahaja setanding, malah dalam banyak aspek melebihi sistem kereta api bawah tanah di London.


