SEPASANG suami isteri didakwa meninggalkan anak lelaki mereka yang berusia 10 tahun di lapangan terbang selepas menyedari pasport kanak-kanak itu telah tamat tempoh.
Difahamkan, pasangan itu nekad meneruskan penerbangan untuk bercuti dan meminta seorang saudara mengambil anak mereka di lapangan terbang kerana enggan terlepas menaiki pesawat.
Kejadian dilaporkan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa El Prat, Barcelona di Sepanyol pada hujung Julai lalu.
Insiden itu didedahkan oleh seorang penyelaras trafik udara lapangan terbang yang dikenali sebagai Lilian.
Kakitangan lapangan terbang yang menjumpai kanak-kanak itu bersendirian segera menghubungi pihak berkuasa.
Kanak-kanak itu memaklumkan bahawa ibu bapanya sudah pun berada dalam pesawat menuju ke destinasi percutian.
Selepas dimaklumkan, pihak kawalan trafik udara menghubungi juruterbang, yang mengesahkan bahawa polis telah memberitahu ada seorang kanak-kanak yang ditinggalkan di kawasan tempat letak kereta.
Juruterbang kemudian meminta penumpang pesawat untuk tampil jika ada sesiapa yang meninggalkan anak di terminal, namun tiada siapa yang mengaku.
Pasangan warga Sepanyol itu berjaya dikesan dan dibawa ke balai polis lapangan terbang untuk mengambil anak mereka dan kemudian disoal siasat.
Pasport adalah dokumen penting yang perlu dibawa untuk ke luar negara. -Gambar hiasan
Situasi menyedihkan itu boleh dielak jika langkah-langkah pencegahan diambil lebih awal.
Berikut ialah langkah yang perlu dibuat untuk elak kejadian seperti ini berlaku, khususnya bagi ibu bapa yang bercadang untuk bercuti bersama anak-anak.
1. Semak dokumen perjalanan lebih awal
Ibu bapa disaran memeriksa tarikh luput pasport semua ahli keluarga sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tarikh perjalanan.
Beberapa negara menolak kemasukan jika pasport kurang daripada enam bulan tempoh sah.
2. Gunakan checklist perjalanan
Sediakan senarai semak perjalanan keluarga seperti pasport, visa, tiket, insurans dan sebagainya.
Tandakan semasa menyemak dokumen setiap ahli keluarga, melalui cara ini anda akan sedar jika terdapat ahli keluarga yang berdepan masalah untuk melancong.
3. Sediakan alternatif yang selamat jika berlaku masalah
Jika berlaku masalah seperti pasport tamat tempoh, tangguhkan perjalanan atau pastikan anak ditinggalkan dengan penjaga sah yang dipercayai.
Elakkan tinggalkan anak tanpa pengawasan di tempat awam.
4. Dapatkan nasihat pihak berkuasa atau kedutaan
Jika ia adalah isu berkaitan dokumen, anda boleh dapatkan bantuan dari pihak imigresen, kedutaan atau konsulat yang berdekatan.
Mereka boleh memberi jalan penyelesaian atau langkah alternatif seperti memberikan dokumen perjalanan sementara.
5. Peka dengan undang-undang negara luar
Di kebanyakkan negara Eropah, meninggalkan kanak-kanak tanpa pengawasan boleh dianggap sebagai pengabaian atau penderaan yang boleh mengakibatkan anda dikenakan tindakan undang-undang.


