suria

Dia Cantik, Dia Pemain Bola Sepenuh Masa & Jaringannya Antara Tercantik Di Dunia...

Stephanie Roche kini menjadi pemain bolasepak pujaan ramai.

DIA adalah pemain bolasepak wanita yang tidak dikenali sehinggalah dia muncul pada malam Anugerah Bolasepak Dunia baru-baru ini sebagai calon penerima Anugerah Puskas untuk jaringan gol tercantik.

Walaupun akhirnya tewas kepada James (sebut Hames) Rodriguez dari Columbia dan Robin Van Persie dari Belanda untuk anugerah berpristej tahunan itu tetapi Stephanie Roche akhirnya mencipta nama di peringkat antarabangsa dan jaringannya kini ditonton oleh lebih tiga juta kali menerusi YouTube.

Siapa sangka, gol tersebut yang dijaringkan dalam perlawanan yang disaksikan oleh hanya 95 orang penonton sahaja akhirnya mencecah sehingga angka juta selepas kemunculannya pada anugerah Fifa itu.

Malah kecantikannya mencuri perhatian ramai. Ketika namanya disebut dan Stephanie Roche berjalan menuju ke pentas pada majlis Anugerah Fifa yang berlangsung di Zurich itu, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi tidak dapat menahan pandangan mereka dengan mencuri menengoknya dari atas sehingga ke bawah.


Steph, 25, sebagaimana dia dikenali di kalangan rakan-rakan sepasukannya adalah pemain wanita pertama yang dicalonkan untuk anugerah tahunan tersebut. Dia berasal dari Ireland.

Malah namanya dicalonkan oleh Fifa sendiri. Dan selepas melalui proses pengundian, dia terpilih untuk disenarai pendekkan dalam tiga pemain terakhir untuk anugerah berkenaan.

Itu juga adalah satu rekod iaitu yang pertama di dunia bagi seorang pemain wanita.

Hakikat bahawa pencalonannya menjadi pilihan para penonton menunjukkan bahawa Steph adalah seorang pemain yang berbakat walaupun dia hanya menerima gaji sebanyak Pound Sterling 650 seminggu sahaja berbanding Ronaldo sebanyak Pound Sterling 380,000 seminggu dan Messi Pound Sterling 313,000 seminggu.

Jika hendak dibandingkan gajinya sebagai seorang pemain pro dengan Ronaldo dan Messi, ia hanyalah 'ciput'. Mereka mungkin tidak pandang sebelah mata pun.

Stephanie, anak bongsu di kalangan empat beradik membesar dengan bermain bolasepak di Selatan Dublin, tempat kelahirannya.



Pada usia 11 tahun, Stephanie sudah pun diterima menyertai pasukan amatur wanita Valeview FC.

Kemudian pada usia 12 tahun, sebagaimana yang dibenarkan oleh peraturan, Stephanie menyertai pasukan campuran lelaki-perempuan.

Tidak lama kemudian Stephanie bermain untuk pasukan Cabinteely Girls dan selepas itu berhijrah pula ke sebuah kelab lain iaitu Stella Maris.

"Pada usia empat belas atau lima belas tahun, sebahagian besar rakan-rakan sepasukan saya yang lain telah berhenti bermain bola tetapi terdapat segelintir pemain wanita termasuk saya ingin terus bermain. Tidak ada penjelasan sebenar mengapa kami memilih bolasepak tetapi hakikatnya begitulah," ujar Stephanie dalam temuramah khas dengan akhbar Britain, The Daily Mail.

Stephanie mungkin telah tewas di tangan James Rodriguez, yang akhirnya terpilih sebagai penerima Anugerah Puskas hasil jaringan luar biasanya menentang Uruguay ketika temasya Piala Dunia di Brazil, pertengahan tahun lalu tetapi hakikat yang pemain wanita itu telah menerima lebih dari satu juta undian untuk jaringan golnya adalah satu testimoni ke atas bakat semulajadinya.

Jaringan tersebut yang dihasilkannya ketika mewakili pasukan Peamount United menentang Wrexdord pada November 2013, hanya disaksikan oleh 95 orang penonton.

Tetapi selepas pencalonannya oleh Fifa untuk anugerah jaringan gol tercantik, ia telah diulang tonton sebanyak lebih tiga juta kali di YouTube.

Sebelum dia menjaringkan gol itu, Steph hanya menyentuh bola tersebut sebanyak dua kali dan untuk kali yang ketiga dia memusingkan badannya dan merembat kencang ke pintu gol sebelah kanan pasukan lawan tanpa dapat dilakukan apa-apa oleh penjaga gol.

Dan rakaman jaringan gol tersebut hanya dilakukan kerana salah seorang pemain yang tercedera sanggup merakamkannya bagi pihak pasukan mereka dari atas tempat duduk penonton. Ternyata ia adalah satu rakaman yang tidak sia-sia kerana dengan rakaman itulah Fifa mencalonkannya sebagai salah seorang calon penerima Anugerah Puskas.

Selepas dia menjadi popular kerana jaringan cantik itu, Stephanie telah dilamar oleh sebuah kelab Liga Perdana Wanita Perancis, ASPTT Albi dengan bayaran gaji sebanyak Pound Sterling 650 seminggu.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain