suria

Gary Berputih Mata, JDT Didenda RM100 Ribu

Gary Steven Robbat

PETALING JAYA: Bekas pemain Harimau Muda, Gary Steven Robbat berputih mata untuk menyertai mana-mana pasukan selepas digantung tiga bulan daripada beraksi dalam sebarang kejohanan dan didenda RM50,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Jumaat.

Gary dijatuhkan hukuman berdasarkan Artikel 17, Status dan Pemindahan serta merta  selepas menimbulkan isu kontrak bersama dua pasukan iaitu Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Gary dihukum kerana pelanggaran kontrak dengan Pahang dan JDT.

"Pemain ini hanya boleh menandatangani kontrak bersama pasukan pilihan selepas tarikh hukuman tamat.

"Manakala kontrak yang ditandatangani bersama Pahang pada 14 November 2014 dan dengan JDT pada 21 November 2014 adalah tidak sah kerana Gary hanya dibebaskan oleh FAM pada 1 Disember 2014.

"Dengan itu juga, pasukan JDT didenda RM100,000 dan amaran keras kerana menyumbangkan ke arah pelanggaran kontrak dan peraturan, manakala Pahang diberi amaran keras,"jelas Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Status di Wisma FAM pada Jumaat.

Pemain berasal dari Kulim, Kedah itu muncul pada majlis memperkenalkan pemain JDT bagi musim 2015 pada 29 Disember lalu, walaupun statusnya masih menjadi tanda tanya.

Sebelum itu, Takiyuddin turut memberi amaran keras kepada JDT kerana menimbulkan kecuaian pendaftaran pemain Mohd Faizul Hussin yang tidak wajar berlaku kerana pemain itu belum selesai dengan pasukan Pahang.

"Mohd Faizul perlu membayar tebus kontrak mengikut gaji bulannya sebanyak RM10,000 selama 12 bulan (RM120,000) kepada bekas majikannya.

"Memandangkan dia sudah dibayar gaji pada Disember lalu sebanyak RM10,000, jadi Mohd Faizul perlu kembalikan wang tersebut kepada Pahang.

"Jadi jumlah keseluruhan yang perlu diselesaikan kepada Pahang berjumlah RM130,000," tambahnya.


Artikel Lain