suria

Kelly Kekal Kejuaraan Golf TSM 2012

SHAH ALAM: Pemain golf kebangsaan Kelly Tan mempertahan gelaran juara kategori remaja perempuan buat kali ketiga berturut-turut pada Kejohanan Golf Cabaran Tan Sri Muhyiddin 2012 (TSM 2012) yang berlangsung di Glenmarie Golf and Country Club.

Pada pusingan terakhir, beliau melakukan 67 pukulan, lima di bawah par untuk mengumpul 201 pukulan, 15 di bawah par selepas tiga pusingan bermula Jumaat lepas.

Di sembilan lubang pertama, Kelly berjaya membenam satu birdie pada par-5 lubang ketiga, dan seterusnya mendapat pukulan eagle pada par-5 lubang keenam dan pada sembilan lubang berikutnya, beliau melakukan pukulan birdie berturut-turut di lubang ke-11 dan 12.

Kejayaan itu membolehkan Kelly menerima hadiah biasiswa berjumlah RM30,000 dan trofi kejohanan daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pengasas kejohanan tersebut.

Pemain berusia 19 tahun dari Johor itu juga berjaya melakar pukulan selubang pada pusingan kedua semalam, sekaligus melayakkan beliau membawa pulang hadiah motosikal elektrik daripada Modenas.

"Sebenarnya, bukan mudah bagi saya terus merangkul gelaran juara namun hasil latihan konsisten sebelum ini telah membantu untuk saya mencipta kemenangan pada Ahad.

"Saya sememangnya tidak menyangka yang saya dapat melakukan pukulan selubang itu. Kali terakhir saya pernah melakukan pukulan selubang ialah dua tahun lepas," kata Kelly kepada pemberita.

Bagi kategori lelaki, Mohd Wafiyuddin Abd Manaf berpuas hati apabila mengungguli kejohanan itu buat julung kali.

"Saya amat bersyukur dengan pencapaian kali ini. Selepas empat tahun saya mencuba, ini adalah kejayaan terbaik saya. Tahun ini adalah yang terakhir saya sertai kejohanan ini. Saya akan memanfaatkan biasiswa yang diterima dengan sebaik-baiknya," kata pemain berusia 21 tahun dari Kedah itu.

Selepas tiga pusingan, Mohd Wafiyuddin mengumpul 219 pukulan, tiga di bawah par yang membolehkannya membawa pulang hadiah biasiswa berjumlah RM40,000 dan trofi.

Kejohanan amatur yang bermula sejak 2006 itu adalah bagi mengenal pasti pemain pelapis berusia bawah 21 tahun dengan handicap 12 dan ke bawah, selain memberi mata ranking amatur dunia kepada peserta. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain