KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Olympian ke-20 di sini, Jumaat malam.
Tuanku Abdul Halim turut berkenan menyampaikan Anugerah Olympian 2012 kategori wanita kepada ratu terjun Pandelela Rinong Pamg dan jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei bagi kategori lelaki.
Kedua-dua atlet itu dipilih oleh Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebagai penerima anugerah tahun ini berikutan kejayaan menyumbang pingat buat negara pada temasya Olimpik London Julai lepas.
Masing-masing menerima pingat dan wang tunai RM10,000.
Anak kelahiran Sarawak, Pandelela, 19, muncul atlet wanita dan atlet terjun pertama negara meraih pingat gangsa pada temasya itu menerusi acara 10m platform. Chong Wei, 30, dari Pulau Pinang, pula merangkul perak menerusi acara perseorangan lelaki.
Anugerah Olympian adalah acara tahunan yang dianjurkan MOM sejak 1993 untuk mengiktiraf pencapaian atlet lelaki dan wanita negara.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim dan Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar. -BERNAMA


