suria

Ahmad Shabery Puas Hati Corak Permainan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berpuas hati dengan corak permainan skuad Harimau Malaya meskipun tewas 1-3 secara agregat kepada Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Kejohanan Piala AFF Suzuki 2012 di Stadium Supachalasai, Bangkok, Khamis malam.

Beliau berkata kekalahan Harimau Malaya tidak mengecewakannya kerana skuad negara mempamer permainan yang mantap.

"Namun saya kecewa dengan mutu pengadilan, terutama di separuh masa pertama.

"Apabila kita (skuad) sudah tinggal 10 orang, pemain berada dalam keadaan yang buntu, tetapi mereka masih bertahan walaupun Thailand lebih mengawal permainan," katanya kepada pemberita di sini.

Ahmad Shabery ditemui selepas bersama-sama 3,000 penyokong Harimau Malaya menonton perlawanan separuh akhir itu menerusi skrin besar di Laman Pengantin, Restoran Sekinchan Ikan Bakar di Setiawangsa di sini.

Beliau berkata menang atau kalah adat pertandingan, dan peminat tidak harus kecewa kerana Harimau Malaya masih antara pasukan yang kuat.

Bagaimanapun, beliau berkata skuad Harimau Malaya seharusnya mengambil pendekatan mengubah corak permainan.

"Jangan terlalu bergantung kepada kaedah hantaran jauh kerana kaedah tersebut sukar dijangka.

"Kita patut mencontohi negara seperti Vietnam yang sudah banyak berubah dari segi pendekatan dan mengadaptasi kaedah baru yang mampu memperbaiki mutu permainan mereka," katanya.

Ahmad Shabery juga berkata apa yang penting ialah penyokong Harimau Malaya harus terus menyokong skuad negara.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain