suria

Piala Malaysia: Kelantan Diundi Dalam Kumpulan Maut

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super dan Piala FA, Kelantan berdepan saingan sengit pada perlawanan Piala Malaysia 2012 yang bermula 22 Ogos hingga 20 Oktober ini.

Pada majlis undian di Dewan Merak Kayangan Felda pada Khamis, Kelantan telah diundi dalam Kumpulan B bersama Terengganu, Kedah dan juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Saya rasa ia adalah undian 'maut', memang sukar buat Kelantan kerana kami akan bertemu musuh tradisi, Terengganu dan juara Liga Perdana, ATM.

"Saya yakin ATM di bawah bimbingan S. Sathianathan, yang pernah menjadi jurulatih pasukan Kelantan, merupakan satu pasukan yang kuat," kata pengurus pasukan Kelantan Azman Ibrahim.

Bagi ketua pasukan ATM, Hairuddin Omar, beliau melihat undian untuk Kumpulan B sebagai suatu saingan yang sengit.

"Selain Kelantan, pasukan Terengganu dan Kedah juga tidak boleh dipandang ringan kerana mereka sentiasa memberikan saingan yang kuat," katanya.

Menurut Hairuddin, ATM meletakkan sasaran untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Sementara itu, juara bertahan, Negeri Sembilan diundi bersama Perak dan dua pasukan kelab, Felda United FC dan Sime Darby FC dalam Kumpulan C.

"Laluan di peringkat kumpulan bukanlah sesuatu yang mudah tetapi kami akan pastikan pasukan Negeri Sembilan jadi juara kumpulan dan seterusnya ke peringkat suku akhir.

"Kami menyimpan keazaman untuk layak ke perlawanan akhir dan kalau boleh menjadi juara sekali lagi. Bagaimanapun, kami perlu fokus kepada setiap perlawanan," kata ketua pasukan Negeri Sembilan Shukor Adan.

Bagi Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, undian yang diadakan itu adalah telus.

Menurut beliau, kehadiran pasukan Lion XII dalam kancah Piala Malaysia tahun ini akan merancakkan lagi saingan kali ini.

"Kita ambil pasukan Lion XII kerana kita tahu mereka adalah satu pasukan yang kuat dan saya harap pasukan negeri terus memberi saingan kepada pasukan pelawat itu supaya Piala Malaysia tidak terlepas ke tangan mereka," katanya.-BERNAMA

Undian Piala Malaysia 2012:

Kumpulan A: Lion XII, PKNS Selangor, Johor FC, Johor

Kumpulan B: Kelantan, Terengganu, Kedah, ATM

Kumpulan c: Perak, Negeri Sembilan, Felda United, Sime Darby FC

Kumpulan D: Selangor, T-Team, Sarawak, Pahang

Artikel Lain