suria

Shaaban Lepasi Saringan Untuk Sertai Kejohanan Terbuka Malaysia Maybank

KUALA LUMPUR: Shaaban Hussin, pada Sabtu, muncul sebagai satu-satunya pemain Malaysia yang melepasi saringan kelayakan untuk menyertai kejohanan golf Terbuka Malaysia Maybank yang menawarkan hadiah US$2.5 juta (RM7.64 juta).

Shaaban, 32, menyempurnakan pusingan keduanya dengan par genap 72 untuk mengumpul mata dua hari berjumlah dua bawah par 142 pada kejohanan ini yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf and Country Club di Bukit Kiara di sini.

Pemain profesional ini berkongsi tempat ke-38 dengan sembilan pemain lain, termasuk juara bertahan Matteo Manassero dari Itali.

Penganjur kejohanan, Persatuan Golf Malaysia, Asian Tour dan European Tour menetapkan paras kelayakan pada 144 dan ini menyaksikan 72 pemain meneruskan cabaran mereka pada pusingan ketiga hari ini.

Sementara itu, 15 pemain profesional dan enam pemain amatur tempatan tidak layak meneruskan langkah ke pusingan seterusnya.

Seramai 75 pemain yang tidak dapat menghabiskan pusingan kedua petang semalam berikutan ribut petir, menyambung semula permainan pagi ini.

Setelah selesai pusingan kedua, naib juara US Masters Louis Oosthuizen dari Afrika Selatan mendahului kedudukan dengan jumlah pukulan dua hari sebanyak 10 bawah par 134 dengan mencatat empat bawah par 68.

Pencapaian pemain Malaysia selepas dua pusingan: 142 - Shaaban Hussin 70-72; 146 - Danny Chia 73-73, Low Khai Jie 73-73; 148 - Ben Leong 73-75, Abel Tam 75-73, Nicholas Fung 76-72; 150 - Airil Rizman Zahari 76-74, C.M. Chong 75-75, Haziq Hamizan 74-76; 151 - Shaifubari Muda 77-74, Shukree Othman 76-75; 152 - Mohd Arie Fauzi 77-75; 153 - S. Murthy 77-76, R. Nachimuthu 79-74; 156 - Mohd Afif Razif 77-79, Zurie Harun 76-80; 158 - Khor Kheng Hwai 77-81; 159 - M. Sasidaran 78-81, S. Siva Chandran 79-80; 160 - Chan Tuck Soon 80-80; 165 - Wee Yoke Boon 79-86. (Nota: Md Rashid Ismail menarik diri selepas pusingan pertama) - BERNAMA

Artikel Lain