suria

Persatuan Basikal Perlu Pastikan Atlet Mempunyai Perlindungan Insurans: Shabery

BANGI: Semua persatuan basikal di negara ini perlu memastikan atlet mereka mempunyai perlindungan insurans, jika tidak mereka boleh dianggap sebagai cuai.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata langkah memastikan atlet mempunyai perlindungan insurans adalah penting sebagai persediaan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

"Persatuan harus melihat aspek memberikan insurans itu adalah sesuatu yang penting kalau tidak saya kira persatuan yang berkenaan dianggap cuai, ini kerana siapa yang nak bayar ganti rugi dan sebagainya (kalau kemalangan berlaku).

"Kalau berlatih untuk kepentingan persatuan, demi kepentingan negara mereka perlu dilindungi oleh perlindungan insurans dan dari segi individu mereka juga perlu melindungi diri mereka," katanya kepada pemberita ketika ditanya berkenaan dengan beberapa kemalangan membabitkan atlet basikal akhir-akhir ini.

Ahmad Shabery berkata beberapa insiden kemalangan yang berlaku di kalangan atlet basikal negara baru-baru ini perlu diambil perhatian.

"Walaupun mereka dah ada marsyal dan sebagainya namun masih dilanggar, ini juga adalah satu masalah yang perlu dilihat dalam konteks Prosedur Operasi Standard (SOP)," katanya.

Ahad lepas, pelumba basikal Kelab Le Tua, Rafizi Hamdan, 37, terbunuh selepas basikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta dari belakang di kawasan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran susur Taman Melawati, dekat sini.

Sementara di Putrajaya pada 29 Jan lalu, skuad basikal negara ketika sesi ujian pemilihan ke Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012, ditimpa kemalangan berdekatan Istana Kehakiman.

Dalam kejadian itu, empat pelumba negara mengalami kecederaan selepas dirempuh sebuah kereta.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain