suria

Piala FA: Terengganu Berada Di Jurang Bahaya

KUALA TERENGGANU: Terengganu berada di jurang bahaya apabila bertemu Lion XII FC di perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Singapura Selasa ini sekalipun mempunyai kelebihan satu gol.

Jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris berkata, ini kerana perlawanan itu akan menentukan kedudukan Terengganu yang juga juara Piala FA 2011 sama ada hidup atau mati dalam kejohanan kali ini.

Beliau berkata, kunjungan Terengganu ke Singapura merupakan satu misi yang amat sukar, lebih-lebih lagi dengan modal yang amat tipis.

"Memang kita tidak selamat dengan kelebihan satu gol, tetapi kita akan mempertahankan kemenangan itu sehingga ke wisel penamat," katanya kepada pemberita di sini. Terengganu mengalahkan Lion XII FC 1-0 dalam pertemuan pertama mereka di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam Sabtu hasil jaringan pemain tengah Joseph Kalang Tie pada minit ke 65 separuh masa kedua.

Mat Zan berkata, apapun yang penting Terengganu ada modal untuk dijadikan semangat untuk berkunjung ke Singapura nanti.

Bekas jurulatih pasukan Pos Malaysia itu berkata, beliau yakin Terengganu akan berjaya menghadapi rintangan yang bakal dihadapi di Singapura nanti dan sekaligus melangkah ke pusingan separuh akhir.

"Kita tidak akan menggunakan corak permainan bertahan ketika bertemu pasukan dari Pulau Temasik itu, sebaliknya kita akan menyerang seperti biasa," katanya.

Mat Zan berkata, beliau akan merubah sedikit posisi pemain bagi mengemaskan lagi pasukan dalam perlawanan itu untuk memburu gol.

Dalam pertemuan malam Sabtu, beliau berkata, sepatutnya Terengganu memperoleh lebih banyak gol tetapi tidak bernasib baik kerana sama ada bola terkena palang atau dapat diselamatkan pihak lawan.

Lion XII FC pada malam Sabtu terpaksa bermain dengan 10 orang apabila ketua pasukan Hariss Harun di layangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Syed Azhar Syed Kamar kerana mengasari penyerang Terengganu Forkey Doe. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Woods Akhiri Kemarau Juara

Artikel Berikut

Artikel Lain