suria

Kemenangan Ubah Nasib Sunderland & Juga Man Utd

LONDON: Kemenangan bermakna Sunderland ke atas Manchester City 1-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris semalam telah benar-benar membawa tuah kepada pesaing City, Manchester United untuk kembali bersaing mempertahankan takhta liga musim ini.

Kedua-dua pasukan kini terikat dengan 45 mata - menang 14 kali, seri 3 kali dan tewas dua kali.

Hanya perbezaan jaringan gol yang memisahkan kedua-dua pasukan dengan City menyumbat 53 gol dan United 49.

United sepertimana City telah tewas kepada satu lagi pasukan tercorot liga iaitu Blackburn Rovers 3-2 Sabtu lalu.

Satu-satunya pasukan yang dilihat mampu mengejar mereka untuk takhta liga musim ini ialah Tottenham Hotspurs yang kini mengutip 39 mata.

Chelsea yang turut tewas Sabtu lalu 1-3 kepada Aston Villa telah mengangkat bendera putih dengan mengakui harapan untuk menjuarai musim ini hanyalah sekadar satu fantasi.

Mereka kini telah tewas lima kali sama seperti Arsenal.

Malam ini Chelsea akan turun menentang Wolves pada jam 11 malam (Siaran Langsung ESPN).

Sementara itu, pengurus City, Roberto Mancini tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa dan marahnya dengan kekalahan pasukannya itu di tangan Sunderland hasil jaringan pemain Korea Selatan, Ji Dong-won pada minit kecederaan.

"Kami mensia-siakan peluang untuk berada tiga mata di atas United tetapi dalam tempoh dua hari lagi kami akan turun semula ke padang menentang Liverpool dan semua orang perlu memberi fokus semula kepada perlawanan ini kerana ia adalah perlawanan yang sangat penting," tegasnya.

Sepanjang perlawanan itu City melakukan 19 rembatan tepat ke arah gol dan dua kali percubaan mereka terkena tiang gol tetapi persembahan cemerlang penjaga gol Sunderland Simon Mignolet berjaya mengekang mereka daripada memperolehi jaringan.

Dalam perlawanan menentang Liverpool nanti, City mempunyai kelebihan untuk mengubah semula keadaan kerana mereka bermain di gelanggang sendiri berbanding perlawanan dengan Sunderland di tempat lawan.

Kekecewaan Mancini amat menyerlah sehinggakan dia terlupa untuk berjabat tangan dengan pengurus Sunderland, Martin O'Neill sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan.

Kemenangan Sunderland itu turut melonjak kedudukan mereka ke tangga ke-13 liga dan berada dalam zon selamat buat masa ini.

Statistik Perlawanan Sunderland - Man City:

SUNDERLAND: Simon Mignolet, John O'Shea, Wes Brown (Matthew Kilgallon, 26), Craig Gardner, Jack Colback, Lee Cattermole, David Vaughan (Ahmed Elmohamady, 83), Stéphane Sessegnon, Sebastian Larsson, James McClean, Nicklas Bendtner (Ji Dong-Won, 78).

MAN CITY: Joe Hart, Vincent Kompany, Aleksandar Kolarov (Micah Richards, 67), Joleon Lescott, Pablo Zabaleta, Adam Johnson, Nigel de Jong (Sergio Agüero, 45), Samir Nasri (David Silva, 55), Yaya Touré, Gareth Barry, Edin Dzeko.

PENGADIL: Kevin Friend.

STADIUM: Stadium of Light, Sunderland.

JUMLAH PENONTON: 40,625

Artikel Lain