suria

Najib Cadang Penubuhan Liga Profesional Asia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat mencadangkan penubuhan liga bola sepak profesional peringkat Asia bagi meningkatkan mutu bola sepak tempatan.

Beliau berkata kejayaan pasukan Malaysia di peringkat Asia Tenggara, termasuk meraih emas pada Sukan SEA di Indonesia bulan lepas, harus dijadikan landasan untuk mencipta banyak lagi pencapaian hebat di peringkat lebih tinggi.

"Kita tak boleh nak beri ganjaran kepada diri sendiri hanya kerana menjadi juara rantau ini, tapi kita mesti jadi 'global champion' (juara di peringkat global). Jangan cepat berpuas hati dengan kejayaan setakat ini," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan hadiah Shakam berjumlah RM629,996 kepada 91 atlet yang meraih pingat emas pada Sukan SEA Indonesia baru-baru ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan anggota pasukan bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun, Harimau Muda.

Ahmad Shabery yang ditemui kemudian berkata beliau akan berbincang dengan pihak terbabit termasuk Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah untuk melihat pendekatan yang boleh diambil kerajaan bagi menggerakkan cadangan itu.

"Kita tengok perkembangan (bola sepak) dalam negara-negara Asia sekarang, mereka telah banyak melakukan transformasi besar dalam liga mereka.

"Myanmar, misalnya, liga mereka digerakkan oleh sektor swasta iaitu setiap badan korporat diwajibkan mengambil satu kelab sebagai anak angkat," katanya.

Beliau juga akan membawa perkara itu pada mesyuarat Menteri-Menteri Sukan Asean di Yogyakarta pada 13 hingga 15 Dis depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain