suria

Skuad Kenari Ambil Dua Pemain Import Dari Brazil

ALOR SETAR: Dua pemain import dari Brazil antara muka baru yang dipilih menyertai pasukan Kenari bagi menghadapi saingan bola sepak Liga Malaysia 2012.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo merupakan pemain pertahanan yang sebelum ini mewakili kelab Brothers Union FC di Bangladesh dan Daniel Soares Neves atau Baroni yang mewakili Cruzeiro E. Clube di Brazil dan akan bermain di bahagian tengah.

"Kedua-dua pemain import ini akan beraksi bersama pasukan Kenari untuk tempoh setahun dengan bersyarat," katanya kepada pemberita semasa majlis memperkenalkan pemain baru di Sri Mentaloon di sini, Sabtu.

Hadir sama Ketua Jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan dan Ketua Jurulatih Piala Presiden, Mohd Nidzam Adzha Yusof.

Beliau berkata antara syarat yang dibuat oleh persatuan ialah dalam tempoh setahun beraksi, jika pemain import itu tidak menunjukkan prestasi yang baik, mereka akan digugurkan dan akan diganti dengan pemain lain.

"Saya harap kedua-dua pemain ini dapat memberi sepenuh komitmen agar pasukan Kedah boleh menjuarai sekurang-kurangnya satu piala. Jika menang semua, itu satu bonus bagi kita," katanya.

Pada majlis itu, tujuh pemain baru turut diperkenalkan iaitu dua bekas pemain Perlis, Azmizi Azmi dan Mohd. Sany Mat Isa, selain Mohd Bashahrul Abu Bakar yang akan beraksi di bahagian pertahanan.

"Tiga muka baru lain yang akan bermain di bahagian tengah ialah See Kok Luen (Kuala Lumpur), Mohd Kamal Azira Abdul Manah (Universiti Sains Malaysia) dan Ahmad Basri Abdul Wahid selain bekas penyerang Pulau Pinang, Abdul Latiff Suhaimi," kata Hamdan.

Skuad Kenari turut mengekalkan pemain berharga mereka, Baddrol Bakhtiar yang mengetuai Harimau Muda menjuarai Sukan Sea baru-baru ini selain penyerang Mohd Khyril Muhymeen Zambri, Mohd. Faizal Abu Bakar, Amar Rohidan dan V.Thirumurugan.

Pemain lain ialah pertahanan kental, Mohd Sabree Mat Abu, Mohd Fauzie Nan dan Khairul Helmi Johari serta tiga penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias, Abdul Hadi Abdul Hamid dan Mohamad Muhaimin Mohamad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain