suria

Sukan Sea: Pingat Emas Bola Sepak Jadi Pengukur Di Indonesia

JAKARTA: Sejak bermulanya Sukan SEA di Bangkok pada 1959 (ketika itu dikenali Sukan SEAP), acara paling menjadi tumpuan ialah 100 meter pecut kerana kejayaan sesebuah negara menjadi juara keseluruhan dirasakan tidak lengkap jika terlepas acara yang amat dinanti-nantikan itu.

Acara itulah yang membuatkan nama-nama seperti M. Jegathesan dari Malaysia, Anat Rattanapol dari Thailand dan C.Kunalan dari Singapura begitu terkenal dan sentiasa menjadi perhatian apabila saja berlangsung Sukan SEA di zaman mereka.

Namun sejak itu, lari pecut 100m itu bukan lagi menjadi kebanggaan kontinjen, malah media sendiri kurang memberi publisiti kepada atlet yang dinobatkan sebagai manusia terpantas di rantau Asean.

Sebaliknya emas paling bernilai pada masa ini, daripada kaca mata pelbagai pihak, ialah yang ditawarkan daripada acara bola sepak lelaki.

Bekas jurulatih Thailand, Steve Darby, mengakui kekalahan pasukannya kepada Malaysia dalam suku akhir Sukan SEA di Laos dua tahun lepas amat mengecewakan walaupun Thailand muncul juara keseluruhan.

Selama 36 tahun sebelum itu, Thailand sentiasa saja layak ke separuh akhir tetapi skuad Malaysia bimbingan Datuk K.Rajagobal telah memadamkan rekod cemerlang itu.

Kepada skuad ke Sukan SEA di sini, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah mengingatkan pemain tentang betapa bernilainya pingat emas daripada acara bola sepak.

"Mana-mana negara yang menjadi juara keseluruhan tetapi terlepas pingat emas bola sepak, maka suramlah arena sukan di negara tersebut," katanya dalam pertemuan dengan skuad itu minggu lepas.

Malaysia merupakan juara bertahan acara bola sepak dari edisi di Laos, dua tahun lepas. Setahun kemudian, skuad itu menjadi juara Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).

Walaupun mencipta kejayaan berganda itu, ada media negara jiran yang memperkecilkan kemampuan skuad Harimau Muda Malaysia.

Menurut mereka, kejayaan Malaysia menjadi juara di Laos dengan jaringan 1-0 mengalahkan Vietnam adalah hasil jaringan sendiri pihak lawan manakala di Piala AFF, skuad Malaysia bernasib baik kerana menang di laman sendiri.

Pada Sukan SEA ke-26 di Indonesia yang sedang berlangsung, perang psikologi seperti itu berterusan.

Setiap kali skuad Harimau Muda bermain di Stadium Gelora Bung Karno, yang kononnya gelanggang keramat bagi skuad Indonesia, pemain Malaysia diejek, dicemuh, dimaki dan disorak oleh peminat fanatik lawan.

Mungkin peminat sukan di Indonesia sendiri sedar, negara mereka yang kini mendahului pungutan pingat dan tidak mungkin dapat dikejar negara lain dengan temasya berbaki empat hari lagi, tidak mampu bersorak gembira jika terlepas pingat acara bola sepak.

Menjelang perlawanan peringkat kumpulan antara Indonesia dan Malaysia malam tadi yang dimenangi Malaysia 1-0, media Indonesia termasuk menerusi program bual bicara di stesen televisyen, memperkatakan perlunya Indonesia menundukkan Malaysia.

Keghairahan media Indonesia membakar semangat penyokong fanatik mereka bagaimanapun tidak disenangi pemain senior skuad boleh sepak Indonesia, Bambang Pamungkas.

Menurut tabloid harian, United & Rising, yang diedar sempena temasya ini, Bambang meminta media dan penyokong tidak terlalu ghairah dan membuat sambutan awal kejayaan skuad Bawah 23 mereka di temasya ini.

Beliau mengambil contoh liputan media Indonesia ketika kempen Piala AFF apabila publisiti yang memuji prestasi skuad negara itu telah menjadi antara satu sebab kekalahan mereka kepada Malaysia.

"Kini skuad B23 kita sedang menuju kejayaan tetapi liputan yang berlebihan akan mempengaruhi konsentrasi mereka.

"Ketika kempen Piala AFF 2010, media menyanjung kami seolah kami telah menjadi juara, menyebabkan kami menjadi besar kepala. Hakikatnya kami belum menang ketika itu dan akhirnya kalah kepada Malaysia ," katanya.

Dan malam tadi, ketika peminat-peminat Indonesia mahu menyaksikan skuad Garuda mengganyang Harimau Muda, jaringan Syahrul Azwari Ibrahim yang membawa kemenangan Malaysia bagi perlawanan terakhir Kumpulan A itu, menyepikan suasana di Stadium Gelora Bung Karno.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menjuarai Kumpulan A dan akan bertemu naib juara kumpulan B, Myanmar, manakala Indonesia selaku naib juara Kumpulan A berdepan juara Kumpulan B Vietnam, yang merupakan pemenang pingat perak Sukan SEA yang lepas.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Wushu Lelaki Hadiah Emas Pertama

Artikel Berikut

Acara Sukan Sea Ke-26, Khamis

Artikel Lain