suria

Wushu Lelaki Hadiah Emas Pertama

JAKARTA: Malaysia memperolehi pingat emas pertama dalam acara wushu lelaki menerusi Lee Yang dalam temasya Sukan SEA ke-26 Jakarta yang berlangsung di Stadium Tenis Tertutup Gelora Bung Karno, Senayan pada hari kedua perlawanan di sini, Sabtu.

Ini seterusnya berjaya mengekalkan pingat emas yang dimenangi negara pada edisi dua tahun lalu di Vientiane, Laos.

Turut berjaya menyumbang pingat iaitu perak bagi kategori wanita dalam acara sama ialah Ng Shin Yii.

Lee, atlet senior berumur 27 dari Taiping, Perak itu mengumpul 19.41 mata dalam dua disiplin bergabung iaitu Taijiquan dan Taijijian.

Dalam Taijiquan, beliau mengutip mata tertinggi iaitu 9.71 mata daripada enam peserta pada aksi akhir manakala dalam Taijiquan 9.70 mata.

Atlet Filipina Parantac Daniel memenangi pingat perak selepas mengumpul 19.22 mata manakala atlet Vietnam, Nguyen Thanh Tung tewas tipis di mana hanya kurang satu mata untuk memperolehi pingat gangsa dengan 19.21 mata.

"Saya sangat seronok. Ia merupakan sesuatu yang patut dibanggakan kerana saya masih berjaya pertahankan pingat emas negara bagi acara ini walaupun penyandang emas di Vientiane, Loh tewas di tempat keempat," katanya ketika ditemui Bernama selepas perlawanan.

Lee yang telah menyertai temasya ini buat kali keempat berkata beliau mahu terus bertanding pada edisi 2013 Sukan SEA ke-27 di Myanmar meskipun umurnya kian meningkat.

"Kalau saya punyai peluang lagi saya mahu menyertai pertandingan ini walaupun saya tahu umur saya makin meningkat demi terus menyumbang pingat buat negara," katanya.

Sementara itu penyandang pingat emas 2009 di Vientiane, Loh Jack Chang yang diharapkan meraih pingat dalam acara ini gagal pertahankan pingat emas peribadinya bagaimanapun terpaksa berpuas hati menduduki tempat keempat dengan 19.20 mata.

Terdahulu dalam disiplin wanita, Ng Shin Yii terpaksa akur di tempat kedua apabila hanya mencatat 19.41 mata, kurang enam mata daripada atlet tuan rumah, Lindswell yang mengecapi pingat emas.

Atlet berusia 22 tahun negara ini mencatat kedua mata tertinggi dalam dua disiplin iaitu 9.71 mata bagi disiplin Taijijian dan 9.70 mata bagi disiplin Taijiquan.

Pingat gangsa pula disapu oleh peserta Singapura, Valerie Wee Ling En yang mencatat 19.36 mata. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain