suria

Skuad Petanque Puas Hati Dengan Gelanggang Di Palembang

KUALA LUMPUR: Keadaan padang dan kemudahan bagi acara petanque yang memuaskan di Palembang, Indonesia diharap mampu menyumbang satu pingat emas buat skuad negara ke Sukan SEA yang bermula minggu depan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Petanque Malaysia (PPM), Shaari Shamsudin berkata acara tersebut akan diadakan di Gelanggang Petanque yang terletak dalam kawasan Kompleks Sukan Jakabaring.

"Satu pasukan khas teknikal PPM telah dihantar terlebih dahulu bagi meninjau dan memantau keadaan di sana untuk memastikan semuannya berjalan lancar dan mereka berpuas hati dengan keadaan gelanggang itu," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Shaari berkata menurut laporan pasukan teknikal tersebut, keadaan stadium dari segi padang dan kemudahan berada pada tahap sempurna dan memenuhi segala kriteria yang ditetapkan oleh International Federation of Petanque and Provencal (FIPJP).

"Walaupun tiada sebarang sasaran yang diberikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) buat pasukan petanque namun saya yakin kami akan memberi kejutan pada temasya itu nanti," katanya.

Acara petanque pada edisi di Indonesia menawarkan sebanyak 11 pingat emas. Pada Sukan SEA Laos 2009, skuad petanque memperoleh dua perak dan satu gangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain