suria

Philippa Yoong Sasar Dua Emas Di Palembang

KUALA LUMPUR: Jaguh ski air kebangsaan Phillipa Yoong berazam memenangi dua pingat emas pada Sukan SEA di Palembang, Indonesia bulan depan.

Philippa, 32, akan mengambil bahagian dalam acara jump bagi kategori slalom dan tricks.

"Banyak perubahan telah berlaku sejak saya menang pingat emas di Sukan SEA Jakarta pada 1997. Setakat ini saya tak ada masalah dalam menjalani latihan dan daripada segi fizikal, saya rasa lebih bertenaga sekarang," katanya.

Acara ini tidak dipertandingkan pada Sukan SEA selama 14 tahun dan kali terakhir ia diadakan ialah di Jakarta, Indonesia pada 1997.

Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata dia tidak bergiat aktif dalam sukan itu selama 10 tahun dan hanya kembali aktif awal tahun depan.

Katanya skuad Sukan SEA Malaysia mendapat suntikan semangat apabila Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF) mengambil Allen Atkins dari United Kingdom untuk menjadi jurulatih mereka dan membantu mempersiapkan skuad negara.

"Pengalaman dan pengetahuan luasnya tentang sukan ini boleh membantu kami dalam membuat persiapan untuk menghadapi Sukan SEA. Saya yakin persaingan di Palembang nanti amat sengit, khususnya daripada Indonesia, yang mempunyai Endhar Pupul Giritya bagi acara jump wanita," katanya.

Sebelas pingat emas iaitu lapan bagi acara ski air dan tiga bagi acara wakeboard akan menjadi rebutan di Palembang.

Sementara itu, lebih 100 peserta dari 15 negara Asia kini berkumpul di Kelab Tasik Putrajaya untuk menyertai Kejohanan Ski Air dan Wakeboard Natique Asia selama lima hari.

Kejohanan ini boleh dimanfaatkan oleh skuad Malaysia untuk mengukur kemampuan mereka dalam menghadapi Sukan SEA.-BERNAMA

Artikel Lain