suria

Azlan Kecewa Gagal Raih Tiket Wildcard Moto GP Malaysia

Penyingkiran Azlan Shah memberi laluan buat dua pelumba lain iaitu pelumba wildcard musim lepas Mohd Zamri Baba dan pelumba muda berusia 17 tahun Hafizh Syahrin Abdullah mengibar cabaran negara dengan menyarung jaket pasukan Petronas Malaysia bagi kategori Moto2 di Sepang.

Azlan Shah berkata beliau menyimpan harapan yang cukup besar untuk beraksi kali ini selepas gagal mendapat tempat buat kali pertama pada percubaan musim lepas.

"Pada musim lepas, mungkin saya boleh menjangka apatah lagi ia pengalaman baru buat saya dan saya juga agak mentah berbanding Mohd Zamri dalam mengendalikan jentera besar.

"Namun situasi musim ini jelas cukup berbeza. Saya lebih bersedia malah pencapaian saya di pentas antarabangsa jauh lebih baik dari pelumba tempatan lain," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

"Mungkin saya datang dari pasukan berbeza berbanding dua pencabar saya. Secara peribadi, memang saya cukup kecewa dengan pemilihan ini. Untuk berlaku adil, bagi saya adalah tidak perlu menyenaraikan tiga pelumba jika diakhirnya mengakibatkan seorang pelumba akan berputih mata," katanya.

Azlan Shah berkata beliau terpaksa memikirkan semula penglibatannya dalam program itu pada masa depan.

"Jika pemilihan dilihat lebih telus dan realistik, mungkin saya akan hadir menyertai pemilihan itu...jika tetap sama saya perlu mempertimbangkan dengan sewajarnya," katanya.

Ini merupakan kali kedua pelumba Boon Siew Honda Racing Malaysia itu gagal untuk beraksi di peringkat tertinggi sekalipun reputasi Azlan Shah sepanjang tahun ini cukup cemerlang termasuk persembahannya pada Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) 2011. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain