suria

Impian Jupha Berguru Dengan Beasley Tercapai

KUALA LUMPUR: Impian pelumba remaja kebangsaan, Jupha Somnet untuk berguru dengan ketua jurulatih kebangsaan John Beasley tercapai apabila beliau terpilih untuk menjalani latihan bersama atlet berbasikal elit negara lain di Melbourne, Australia.

Jupha, 18, berkata dia rasa gembira kerana diberi peluang untuk berlatih di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman itu dan berjanji akan menggunakan sebaik-baiknya peluang berkenaan.

"Saya rasa gembira kerana diberi peluang untuk berlatih di bawah Beasley dan juga pelumba kebangsaan lain dan saya tidak akan sia-siakan peluang ini," katanya.

Dia yang bertolak ke Melbourne pada Isnin berharap pengalaman yang bakal diperolehnya nanti akan dapat merealisikan impiannya untuk meraih pingat emas dalam temasya Sukan SEA di Indonesia pada November.

"Saya tidak pasti berapa lama akan berlatih di Melbourne namun yang pasti akan tetap beraksi di Sukan SEA," katanya.

Jupha berkata berbekalkan pengalaman latihan itu, beliau berasa lebih berkeyakinan untuk mendapat pingat pertama untuk dirinya pada temasya dwitahunan itu.

"Saya tidak pasti sama ada akan beraksi dalam acara untuk perlumbaan trek di Indonesia nanti tapi yang pasti tidak akan dapat beraksi dalam acara lebuh raya kerana belum cukup umur kelayakan," katanya.

Jupha sebelum ini dinobatkan sebagai Olahragawati Sukan Malaysia ke-14 selepas memungut pingat emas menerusi acara scratch, perlumbaan mata, tiga kilometer individu kejar-mengejar dan individu pecut, selain meraih perak bagi acara keirin.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain