suria

Empat Pemain Kriket Dapat Pendedahan Luar Negara

KUALA LUMPUR: Empat pemain kriket kebangsaan, Faris Almas-Lee, Aminudin Ramly, Shahrulnizam Yusof dan Nik Azril Ariffin -- terpilih bagi menjalani program penempatan di luar negara.

Program yang dirangka Persatuan Kriket Melayu Malaysia (PKMM) itu mendapat tajaan Yayasan Sime Darby.

"Penempatan pemain di luar negara merupakan kemuncaknya kepada program pembangunan menyeluruh Kriket Melayu ini memastikan pemain berwibawa mewakili pasukan utama negara di samping skuad peringkat usia kebangsaan, " kata Presiden PKMM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dalam kenyataan hari ini.

Faris dan Aminudin telah berlepas ke Cardiff, Sabtu lepas bagi menyambung pengajian di University of Glamorgan, Wales, sambil bermain bersama salah sebuah kelab di sana.

Faris, 21 menyambung pengajian dalam bidang perakaunan manakala Aminudin,21 dalam pengajian perniagaan.

Dua pemutar kebangsaan, Shahrulnizam dan Nik Azril pula akan beraksi di liga Persatuan Kriket Australia Barat (WACA) selama lima bulan di Perth bermula pertengahan bulan ini.

Shahrulnizam dan Nik Azril merupakan pelajar pusat prestasi tinggi kriket di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan telah mendapat pelepasan untuk bermain selama lima bulan itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain