suria

Zamri, Hafidz Dapat Wild Card Untuk Aksi Moto2

KUALA LUMPUR: Mohamad Zamri Baba sekali lagi diberi kepercayaan apabila terpilih untuk beraksi pada Grand Prix Motosikal (MotoGP) Shell Advance Malaysia 2011 pada 21 hingga 23 Oktober ini.

Turut mengiringi Zamri dalam kategori Moto2 ini adalah pelumba muda, Hafizh Syahrin Abdullah.

Kedua-dua pelumba ini dipilih berdasarkan ujian kelayakan yang berlangsung minggu lalu dengan mencatat keputusan yang memuaskan sekali gus menyingkirkan seorang lagi calon yang yang terlibat, Azlan Shah Kamaruzaman.

Zamri berjaya mencatat masa terbaik 2:10:140s, diiukti Hafizh 2:10:761s dan Azlan 2:10:980s dengan jarak keseluruhan 700 kilometer sebanyak 130 pusingan.

"Saya gembira kerana sekali lagi layak untuk beraksi pada MotoGP tahun ini dan pastinya akan cuba melakukan yang terbaik.

"Walaupun saya dapat merasakan sedikit tekanan kerana perlu mengatasi kedudukan ke-22 yang diraih tahun lalu, tetapi saya yakin semuanya akan berjalan lancar" katanya.

Zamri berkata, keputusan perlumbaan pada tahun lepas akan menjadi kayu pengukur buat dirinya untuk mempamerkan aksi yang menarik di Litar Sepang bulan ini di samping terdapat sedikit perubahan pada jenteranya yang digunakan pada tahun lepas.

"Tahun ini kerjasama di antara TWMR dan kejuruteraan jentera Moriwaki dari Jepun telah menghasilkan jentera MD2011 yang lebih konsisten, selesa, ringan dan lebih kuasa berbanding jentera tahun lepas.

"Jentera yang sebelumnya (MD2010) ini akan diguna oleh Hafizh dan saya harap dapat serasi dengan jentera ini memandangkan perlumbaan makin hampir," katanya.

Sementara itu, Hafidz berkata, perasaan sedikit gementar kerana pertama kali beraksi pada perlumbaan dunia.

"Walaupun sedikit gementar, saya akan cuba untuk mencatat keputusan yang baik.

"Selepas beberapa kali menunggang jentera ini, saya dapati Moto2 ini ringan daripada siri supersports dan mudah dikendalikan," katanya.

Artikel Lain