suria

Nur Ayuni Azam Tagih Pingat Di Indonesia

KUALA LUMPUR: Penembak wanita negara Nur Ayuni Farhana Abdul Halim berazam untuk mencuba yang terbaik apabila beraksi di temasya Sukan SEA, Indonesia pada November nanti.

Nur Ayuni Farhan, 21, yang akan beraksi dalam acara 50 Meter 3 Position Air Rifle berkata setakat ini latihan berjalan lancar dan beliau bersama penembak negara lain akan bertolak ke Langkawi esok untuk menjalani latihan pusat di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (Lisram).

"Saya akan berusaha memperbaiki kelemahan yang ada selain mempertingkatkan prestasi persembahan sebelum ini.

"Selepas pulang dari Langkawi, saya akan bertolak ke Kuwait pada 15 Oktober depan untuk menyertai acara Kejohanan Asean Air Gun," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Penembak yang berasal dari Pahang itu berkata beliau yakin mampu meraih pingat namun tidak meletakkan sebarang sandaran warna pingat.

"Saya menjangkakan akan mendapat saingan sengit daripada penembak handalan Thailand, Vietnam dan Singapura," katanya.

Beliau berkata temasya dwitahunan itu turut menjadi medan latihan untuk beliau sebelum menyertai kejuaraan di Doha, Qatar Januari tahun depan bagi mencari peluang terakhir mendapat tiket beraksi ke Sukan Olimpik di London 2012.

Pada edisi Sukan SEA di Laos pada 2009, Nur Ayuni berjaya meraih gangsa dalam acara menembak 10 meter air rifle dan penyertaan kali ini adalah merupakan yang kedua bagi beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain