suria

Skuad Negara Perlu Biasa Dengan Sistem Baru Taekwondo

KUALA LUMPUR: Penyertaan skuad taekwondo kebangsaan dalam Festival Taekwondo Korea Sedunia ke-11 dari 29 Jun hingga 5 Julai ini, bukan sahaja dilihat sebagai pentas persiapan ke Sukan Asia tetapi juga untuk membiasakan diri dengan sistem baru sukan itu.

Jurulatih kebangsaan R. Dhanaraj berkata selepas lama tidak menyertai kejohanan antarabangsa, kali terakhir pada Sukan SEA di Laos Disember tahun lepas, skuad negara agak ketinggalan dalam mengaplikasikan sistem pemarkahan baru yang diperkenalkan pada awal tahun ini.

"Contohnya dulu pukulan di kepala dapat satu mata tetapi sekarang dapat tiga mata. Begitu juga dengan vest yang digunakan juga sekarang adalah vest elektronik yang mempunyai sensor," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dhanaraj berkata seramai tujuh atlet terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita akan menyertai kejohanan berkenaan.

Atlet wanita ialah Elaine Teo Shueh Fhern (47-49 kg), Nurul Asfahlina Johari (bawah 47 kg) dan Nurul Nadia Mahamat (49-53 kg) manakala atlet lelaki dibarisi Rusfredy Tokan Petrus (54-58 kg), Mohd Affifuddin Omar Sidek (62-68 kg), Ryan Chong Wy Lunn (58-62 kg) dan Dinie Ajmal Nordin (bawah 54 kg).

Beliau berkata tiada warna pingat disasarkan di Korea Selatan dan cukup memadai jika mereka berjaya memenangi sebarang pingat pada kejohanan peringkat jemputan dunia yang disertai 30 negara.

"Saingan untuk kejohanan ini sama dengan saingan untuk Sukan Asia antaranya Korea Selatan, Iran dan China," katanya.

Bagi temasya Sukan Asia di Guangzhou, China pada 13 hingga 21 Nov ini, beliau juga tidak meletakkan sebarang sasaran pingat tetapi meletakkan harapan di bahu Elaine dan Rusfredy untuk meraih pingat.

"Senarai atlet ke Sukan Asia sama dengan kejohanan di Korea Selatan, kecuali Nurul Asfahlina (yang tidak disenaraikan ke Sukan Asia)," katanya.

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia 2010

Artikel Lain