suria

Pasukan Belanda Dilarang Guna Twitter

PASUKAN Belanda dilarang daripada menggunakan laman web sosial Twitter sepanjang kejohanan Piala Dunia berlangsung selepas salah seorang pemainnya, Eljero Elia mengeluarkan komen berbaur perkauman yang disiarkan secara langsung menerusi video.

Video yang melihatkan pemain sayap Belanda itu menghina masyarakat Maghribi menerima kritikan dan komen penonton yang marah dan memaksa Elia untuk memohon maaf sekali gus membuatkan Pengurus Belanda, Bert van Marwijk mengenakan larangan tersebut.

Pemain pertahanan Gregory van der Wiel dalam akaunnya menulis pasukan tidak lagi dibenarkan menggunakan Twitter yang turut disahkan oleh Ryan Babel dan Elia yang telah pun tidak mengaktifkan akaun mereka.

Dalam video tersebut, Elia dan Babel dilihat bermain permainan video di bilik mereka di hadapan kamera web dengan beberapa pasukan lain melawat mereka.

Elia memohon maaf terhadap komen yang dibuatnya tetapi menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk menghina masyarakat tersebut.

"Saya mahu memohon maaf kepada masyarakat Maghribi tetapi saya bukanlah orang yang bersifat perkauman," katanya kepada media Belanda.

"Saya membesar di The Hague yang mana 75 peratus terdiri daripada masyarakat Maghribi dan banyak berkawan dengan mereka.

"Apa yang saya ucapkan adalah untuk kawan saya, Reduan yang sentiasa memanggil saya dengan panggilan 'negro'... ia kedengaran pelik, tapi ia adalah satu gelaran," tambahnya.

Tahun lalu, Van der Wield memperoleh pengajarannya bahawa komen di Twitter boleh menyebabkan dia berada dalam situasi yang tidak menyenangkan.

Pemain itu dikeluarkan dari pasukan Belanda dalam perlawanan persahabatan menentang Australia tetapi menulis di Twitter bahawa dia menonton konsert pada malam pasukannya bertolak ke Australia.

Belanda akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Demark Isnin depan.

Artikel Lain