suria

10,000 Dijangka Saksi Piala Dunia Melalui Skrin Besar Di Bandar i-City

SHAH ALAM: Kira-kira 10,000 peminat dijangka menyaksikan setiap perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan melalui skrin besar yang disediakan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Bandar i-City di Seksyen 7, bermula Jumaat ini.

Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Ibrahim Yahaya berkata RTM selaku penyiar berlesen kejohanan terbabit akan menyiarkan 24 perlawanan secara langsung dan 11 perlawanan secara tertunda melalui RTM1 dan RTM2.

"Ini adalah salah satu usaha oleh pihak kami untuk menyatupadukan rakyat dan mendekatkan lagi RTM dengan rakyat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program terbabit di sini malam tadi.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mazalan Md. Noor serta timbalan pengerusi eksekutif Bandar i-City, Tan Sri Lim Kim Hong.

Ibrahim berkata melalui skrin besar terbabit orang ramai khususnya peminat bola sepak dapat merasai suasana sebenar kejohanan bola sepak berprestij di dunia itu.

Pelbagai acara menarik seperti konsert, pertandingan futsal, gerai-gerai jualan cenderamata Piala Dunia 2010 dan sebagainya bakal diadakan di bandar terbabit sepanjang Piala Dunia itu berlangsung sehingga perlawanan akhir iaitu pada 12 Julai ini.

RTM telah menjadi penyiar utama sejak Piala Dunia 1974, 1978, 1986, 1990, 1994, 1998, 2002 dan 2006 dan tema untuk penyiaran rasmi tahun ini ialah "Sorakan 1Malaysia 1Dunia".

-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia

Artikel Lain