suria

China Tidak Sertai Terbuka Indonesia

JAKARTA: Kejuaraan badminton Terbuka Indonesia Super Series pada 22 hingga 27 Jun ini tidak akan disertai para pemain negara China.

Kepastian mengenai ketidakhadiran bintang-bintang China itu disampaikan oleh Ketua Jawatankuasa Pelaksana kejuaraan itu Handojo di Jakarta, Selasa.

"Sebahagian besar pemain dunia sudah mengesahkan hadir, hanya pemain China yang tidak dapat hadir.

"Tetapi pemain-pemain ranking satu dunia seperti Lee Chong Wei dan regu lelaki Malaysia akan hadir," katanya.

Beliau berkata para pemain China akan terlibat pertandingan dalam negara pada waktu yang sama dengan Terbuka Indonesia.

Tanpa China, acara ini akan disertai 30 negara, baik negara tradisional badminton seperti Indonesia, Malaysia, Korea Selatan dan Denmark, mahupun negara-negara seperti Slovenia, Macau, Sepanyol dan Itali.

Ketua Pengurus Besar Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI), Djoko Santoso berkata pihaknya tetap akan berusaha membawa para pemain China ke kejuaraan itu.

Sama ada pemain China dapat hadir atau tidak, persatuan itu berharap pemain Indonesia akan merangkul tiga daripada lima medal pada kejuaraan itu dalam acara perseorangan lelaki, beregu lelaki dan bergu campuran, katanya.

Sementara itu Ketua Bahagian Latihan Kebangsaan PSBI Christian Hadinata berkata dengan ketiadaan China, persaingan antara pemain negara lain dijangka menjadi lebih sengit.

Ia terutamanya akan membuka peluang kepada para pemain negara lain dalam acara wanita, yang selama ini didominasi oleh China, katanya.

"Pemain Indonesia tetap harus berwaspada dengan Korea yang memiliki regu campuran dan regu lelaki yang bagus, serta Malaysia yang mempunyai perseorangan lelaki dan regu lelaki nombor satu," katanya.

Dalam kejuaraan sebegini, ranking tidak terlalu mempengaruh, contohnya pasukan Jepun yang bukan negara tradisional badminton boleh menewaskan Malaysia dalam kejohanan Piala Thomas di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Acara tahun ini, yang mengambil tema "Celebrate World's Badminton Passion!" (Meriahkan Keghairahan Badminton Dunia), memadukan badminton dengan gaya hidup.

Sehubungan itu, Istora Senayan Jakarta, yang menjadi gelanggang kejuaraan itu akan dihias khusus berdasarkan tema itu.

Ia juga disebut "Road to Premier Superseries" kerana tahun depan, acara ini akan naik kelas menjadi Premier Superseries di mana para pemain ranking 1 hingga 15 dunia harus hadir tanpa terkecuali sehingga menjanjikan tontonan yang lebih menarik.

Hadiahnya juga relatif lebih besar, iaitu menjadi AS$600,000, hampir dua kali ganda dibandingkan tahun ini dengan kelas superseries menawarkan hadiah berjumlah AS$350,000. - BERNAMA

Artikel Lain