suria

Wartawan China Persoal Kawalan Keselamatan Di Afrika Selatan

BEBERAPA jam selepas tiba di Johannesburg Selasa lalu untuk membuat liputan aksi Piala Dunia di Afrika Selatan, tiga wartawan China dari akhbar Xin An melalui pengalaman mengerikan.

Dua daripada mereka kehilangan sebuah kamera dan wang tunai apabila dirompak dua lelaki di sebuah persimpangan jalan di ibu kota manakala kamera seorang lagi wartawan bernilai 100,000 yuan (RM48,000) nyaris dilarikan.

Berita itu menjadi tajuk utama dada-dada akhbar di China sekali gus meningkatkan langkah berjaga-jaga di negara tuan rumah kejohanan Piala Dunia yang bermula semalam.

Mengulas mengenai insiden itu, mereka berkata, selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo pada awal pagi, rakan kongsi akhbar Xin An, MIH menjemput dan menghantar mereka ke hotel.

Pada sebelah petang, ketiga-tiga wartawan itu berkunjung ke pejabat sementara yang disediakan oleh MIH di ibu pejabat syarikat berkenaan sebelum menuju ke Stadium Soccer City.

Ketika menunggu lampu isyarat bertukar hijau di persimpangan Jalan Empire, dua lelaki menyerang hendap kereta yang dinaiki mereka. Salah seorang daripada mereka, menghulurkan tangan ke dalam tingkap kereta yang dibuka separuh dan menjerit: "Kamera, Telefon bimbit, Wang!."

Dua wartawan yang duduk di bahagian belakang tidak dapat berbuat apa-apa tetapi menyerahkan sebuah kamera kepada perompak itu apabila mereka cuba mengeluarkan senjata api yang tersembunyi di dalam jaket.

Kedua-dua perompak itu kemudiannya memaksa mangsa menyerahkan wang mereka. Wartawan itu mengikut arahan dan menyerahkan beberapa ratus rand.

Ketika mereka cuba merompak seorang lagi wartawan yang duduk di bahagian depan, lampu isyarat bertukar hijau dan pemandu kereta itu memecut laju, meninggalkan kedua-dua perompak berkenaan.

Ketiga-tiga wartawan itu kemudiannya membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

Menurut polis, kes rompakan seperti itu dijadikan sebagai contoh klasik bagaimana perompak menyerang mangsa mereka.

"Salah seorang daripada pegawai polis mengingatkan kami untuk menyimpan barang berharga di dalam but kereta dan tidak perlu menyerahkan apa jua barangan yang diminta perompak pada masa hadapan.

"Berdasarkan pengalaman ini, kami belajar untuk menjadi lebih berhati-hati apabila melakukan liputan di Johannesburg. Tiada tempat yang betul-betul selamat pada ketika ini," kata mereka.

Kes rompakan itu adalah antara sebahagian insiden melibatkan beberapa wartawan dan krew filem yang membuat liputan atau melakukan projek berkaitan Piala Dunia, dirompak sepanjang minggu ini.

Sementara itu, seorang wartawan China dari TV Beijing turut dirompak beberapa lelaki bersenjata ketika keluar seorang diri.

Krew yang melakukan penggambaran filem China, Light Up the Fire of World Cup di Afrika Selatan turut diserang sekumpulan perompak bersenjata di kawasan sesak, Soweto, Selasa lalu.

Mereka melarikan semua peralatan audio dan beberapa telefon bimbit serta kamera.

Jurugambar akhbar harian Portugal, O Jogo, Antonio Simoes terjaga pada jam 4 pagi, Rabu lalu dan menyedari dua lelaki memecah masuk ke dalam bilik hotelnya di Magaliesburg. Salah seorang perompak mengacukan pistol terhadapnya dan melarikan peralatan kamera, komputer riba, pasport dan sepasang seluar jean.

Di tempat penginapan sama, bilik wartawan akhbar sukan Sepanyol, Marca, Miguel Serrano dan Rui Gustavo Morais dipecah masuk dan pencuri mengambil komputer, telefon bimbit, pasport, wang tunai dan pakaian semasa mereka sedang tidur.

Pada 6 Jun lalu, wartawan dari Korea kehilangan peralatan elektronik, pasport dan wang berjumlah 12,000 rands (RM5,100) kerana dirompak di tandas sebuah kompleks membeli belah di kawasan sibuk di Durban.

Semalam, seorang perompak bersenjata menawan seorang lelaki Cina yang mempunyai kerakyatan Afrika Selatan dan merampas kamera serta telefon bimbit semasa dia membawa sekumpulan pelancong China ke Germiston.

Pada hari sama, Pasukan Kebangsaan Greek yang sedang menjalani latihan bagi perlawanan pembukaan menentang Korea Selatan kehilangan wang tunai dalam jumlah yang besar akibat dicuri dari bilik mereka di Umhlanga.

Pihak media China melihat isu keselamatan sepanjang Piala Dunia sebagai isu utama dan mengkritik kesukaran yang dialami wartawan dalam membuat liputan perlawanan.

Sina.com melaporkan kekurangan pemeriksaan keselamatan di hotel tempat Fifa mengadakan mesyuarat dan melaporkan bahawa sesiapa yang menayangkan pas boleh memasuki hotel penginapan pemain Portugal.

Portal berita sukan pula melaporkan sebilangan besar pengawal keselamatan tidak menjalani latihan sepatutnya atau menunjukkan sikap profesional seperti yang dibuat ketika pemeriksaan keselamatan pembukaan latihan oleh pasukan Jerman.

Kecurian juga berlaku pada Piala Konfiderasi yang diadakan di Afrika Selatan tahun lalu. Pasukan Brazil dan Mesir kehilangan wang tunai dalam jumlah yang banyak dan pelbagai barangan lain apabila hotel penginapan mereka dipecah masuk.

Menurut Persatuan Media Afrika Selatan, kerajaan telah berikrar bahawa keselamatan pelawat diberi keutamaan dan menempatkan 40,000 anggota polis di tempat operasi Piala Dunia.

Polis Afrika Selatan berkata, mereka telah berjaya menahan suspek ke-empat yang disyaki merompak dua wartawan Portugis dan seorang wartawan Sepanyol di Magaliesburg.

“Kami telah menahan empat suspek. Kami yakin kami menahan orang yang betul,” kata jurucakap Ketua Polis Afrika Selatan, Komisioner Bheki Cele, Nonkululeko Mbatha semalam, seperti yang dilaporkan Agenci Xinhua.

“Kami menemui sebahagian besar barang yang dirompak. Kami masih menyoal siasat mereka, jadi kemungkinan besar lebih banyak barang akan ditemui."

Dalam kenyataan awalnya, Cele berkata, malang kepada pelawat yang datang ke negara itu jika terpaksa berhadapan dengan pengalaman yang tidak diingini, iaitu dirompak.

“Saya berharap tindakan polis yang cepat ini akan memberikan keyakinan kepada mereka untuk menikmati percutian mereka di negara ini dan perlawanan yang menarik,” katanya.

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia 2010

Artikel Lain