suria

Dalglish Sedia Lakar Kepulangan Mengejut Ke Liverpool

KENNY Dalglish (gambar) memberitahu Liverpool bahawa dia bersedia untuk melakukan kepulangan mengejut sebagai pengurus pasukan itu selepas Rafael Benitez bersetuju mengisi kerusi panas yang ditinggalkan Jose Mourinho di Inter Milan, semalam.

Dalglish yang meninggalkan Anfield pada 1991 kini diberi tanggungjawab untuk mengenal pasti pengurus baru Liverpool di samping Pengarah Urusan, Christian Purslow.

Legenda The Reds itu bagaimanapun sanggup menyenaraikan namanya sendiri sebagai calon pengurus baru dan percaya dia berupaya memulihkan nasib Liverpool serta meyakinkan Steven Gerrard dan Fernando Torres untuk kekal bersama kelab.

Bagaimanapun, Dalglish mengakui dia tidak pernah menyesal meninggalkan Liverpool, 19 tahun lalu dan bersedia untuk kembali.

Keinginan Dalglish, 59, untuk mengisi kekosongan jawatan itu mungkin menimbulkan masalah kepada Purslow dan lembaga pengarah Liverpool yang lebih gemar menggantikan Benitez dengan calon yang masih bertindak sebagai pengurus dalam mana-mana pasukan pada ketika ini.

Roy Hodgson menjadi calon pilihan utama selepas pemergian Benitez minggu lalu walaupun tiada tawaran rasmi dikemukakan kepada Fulham.

Pelantikan Dalglish yang meninggalkan tanggungjawab selaku pengurus selepas menamatkan kariernya bersama Celtic pada 2000 sedikit sebanyak membawa perkhabaran gembira buat semua peminat Liverpool.

Memandangkan Liverpool kekurangan dana untuk membawa masuk beberapa muka baru pada musim panas ini, Dalglish dilihat mampu memujuk Gerrard supaya menolak tawaran dari Real Madrid.

Dalglish mengambil alih tugas selaku Pengurus Liverpool daripada Joe Fagan beberapa hari selepas tragedi Heysel pada 1985.

Dia mencatat dua kemenangan pada musim pertamanya sebagai pengurus Liverpool sebelum menambah dua lagi trofi kejuaraan dan Piala FA pada 1989.

Dalglish kembali bertugas bersama Blackburn dan mencipta sejarah apabila mengemudi pasukan itu muncul juara Liga Perdana Inggeris pada 1995 sebelum berhijrah ke Newcastle.

Di saat Liverpool masih buntu mencari pengurus baru, Benitez kini dilaporkan sudah menyempurnakan perpindahan dramatik ke San Siro.

Menurut Presiden Inter Milan Massimo Moratti, Benitez menerima tawaran kontrak selama tiga tahun dengan kelab gergasi Itali yang baru saja memenangi saingan Liga Juara-juara Eropah dan Serie A.

Benitez kini dilaporkan sedang bercuti di Sardinia sementara menunggu pengumumannya sebagai pengurus baru Inter dalam tempoh terdekat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia

Artikel Lain