suria

Perenang kebangsaan Khoo Chai Lin antara penerima biasiswa sukan KPT

PUTRAJAYA: Perenang kebangsaan Khoo Chai Lin dan atlet bowling padang Nor Shafeeqah Yahya adalah antara 138 atlet mahasiswa yang menerima biasiswa sukan Kementerian Pengajian Tinggi(KPT) sesi 2009/2010.

Chai Lin, 21, yang kini menyambung pengajian dalam bidang komunikasi di Kolej Taylor, berkata beliau berazam untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan dan akademik.

Sementara itu, Nor Shafeeqah, 20, berpendapat pemberian biasiswa itu akan membantunya belajar dengan lebih selesa dalam bidang ijazah komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Saya sangat bersyukur. Saya juga berhasrat untuk membeli peralatan sukan dengan menggunakan wang biasiswa itu," katanya kepada Bernama pada Malam Kecemerlangan Sukan KPT di sini malam semalam.

Kriteria utama penerima biasiswa adalah berdasarkan pencapaian yang cemerlang dalam sukan yang diceburi serta mendapat pengiktirafan Majlis Sukan Negara (MSN). Tujuh penyelidik universiti tempatan turut menerima Geran Penyelidikan Sukan benilai RM200,000.

Antara penerima geran itu adalah pensyarah kanan program sukan Universiti Malaya Dr Nadhratul Wardah Salman yang menjalankan kajian berjudul "Audit of Sports Provisions in Public Universities in Malaysia."

"Kajian saya ini ada kaitan dengan pengisian Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi yang dilancarkan. Bagi saya dasar ini sangat berjaya," katanya.

Pegawai penyelidik di Akademi Sukan UPM Yunus Adam pula berharap kajiannya yang bertajuk "Antioxidant Effects of Cosmo Caudatus (Ulam Raja) in Athletes" itu akan berjalan lancar.

Beliau juga berharap untuk menerima geran penyelidikan itu pada masa akan datang supaya dapat menghasilkan lebih banyak kajian. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain