suria

Sebanyak 31 pasukan sertai Kejohanan Bola Sepak Pantai FAM

PETALING JAYA: Sebanyak 31 pasukan telah mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) edisi pertama di Teluk Cempedak, Kuantan, minggu depan.

Kejohanan selama tiga hari itu mulai 16 Okt ini akan menampilkan 16 pasukan negeri bagi kategori lelaki termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 15 pasukan wanita setelah Terengganu menarik diri.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola sepak Pantai FAM, Hamidin Mohd Amin berkata dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir dan seterusnya bagi merebut piala pusingan serta hadiah wang tunai RM20,000 bagi setiap kategori lelaki dan wanita.

"Kejohanan ini merupakan pentas terbaik untuk memilih pemain terbaik dari seluruh negara bagi diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan," katanya kepada pemberita di Wisma FAM di sini selepas undian dan taklimat kejohanan itu hari ini.

Hamidin berkata empat pegawai teknikal FAM telah ditugaskan bagi mencari pemain berpotensi untuk diketengahkan menjelang satu kejohanan jemputan antarabangsa di Oman bulan depan.

Berdasarkan undian, saingan sengit dijangka dalam Kumpulan C yang terdiri daripada Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor dan Terengganu.

Hamidin berkata kejohanan itu juga telah diiktiraf oleh kerajaan Pahang sebagai salah satu acara rasmi sempena ulang tahun ke79 Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, yang juga merupakan presiden FAM," katanya.

Undian Pasukan:

Kumpulan A: ATM, Kuala Lumpur, PDRM, Sarawak

Kumpulan B: Johor, Melaka, Sabah, Perlis

Kumpulan C: Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu (lelaki sahaja)

Kumpulan D: Perak, Kedah, Pahang, Pulau Pinang

BERNAMA

Artikel Lain