suria

Tuanku Mizan mulakan cabaran Kejohanan Kuda Lasak

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini memulakan cabaran dalam kejohanan kuda lasak, Pahang-PENN Endurance Challenge 2009 bersama 97 peserta lain di Pahang International Endurance Park, Cherating dekat sini, hari ini.

Baginda yang mewakili pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) menunggang kuda bernama "Tarjari Moonlight Pharoah" dan menggunakan jersi Nombor 7 dalam persaingan bagi kategori perlumbaan sejauh 100 kilometer yang turut disertai 28 penunggang.

Kategori itu turut disertai dua anakanda Tuanku Mizan iaitu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Nadhirah Zahrah dan dijangka mengambil masa selama 15 jam dengan permulaan pada 4.30 petang tadi dan tamat pada 7 pagi esok.

Dalam kejohanan pada tahun lepas, Tuanku Mizan muncul juara bagi kategori 100km dengan menamatkan saingan dalam masa 8 jam 17 minit dan 49 saat.

Dua lagi kategori turut dipertandingkan dalam kejohanan itu iaitu kategori 60 km, disertai 52 peserta dan 20 km, disertai 17 peserta.

Bagi kategori 60 km, perlumbaan dijangka memakan masa selama 8 jam manakala kategori 20 km, selama 3 jam.

Kira-kira 1,000 pengunjung memeriahkan upacara pelepasan perlumbaan yang turut menarik penyertaan penunggang kuda dari negara Jerman, Perancis, Singapura, Thailand dan Indonesia. BERNAMA

Artikel Lain