suria

Berbasikal: Cabaran pertama Adiq Husainie sebagai pelumba elit di Manchester

KUALA LUMPUR: Kemampuan sebenar pelumba remaja kebangsaan, Adiq Husainie Othman, bakal teruji apabila dia beraksi pada siri pertama Piala Dunia Klasik di Manchester, England, dari 30 Okt hingga 1 Nov ini.

Pelumba berusia 18 tahun itu akan menyertai acara perlumbaan mata, scratch dan madison bersamasama seorang lagi pelumba kebangsaan, Amir Mustafa Rusli.

"Saya akan memberikan persembahan yang terbaik dalam semua acara ini kerana ia merupakan kejohanan pertama saya sejak diserapkan ke dalam skuad elit," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Adiq Husainie berkata persiapan yang dilakukan telah mencukupi setelah hampir dua bulan berguru dengan ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley, di Melbourne, Australia.

Beliau sebelum ini mempamerkan persembahan cemerlang apabila memenangi pingat gangsa dalam acara scratch 10 kilometer pada Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Dunia di Moscow Ogos lepas.

Kecemerlangannya itu disusuli dengan pencapaian satu perak dan dua gangsa pada Kejohanan Berbasikal Remaja Asia (ACC) di Indonesia beberapa hari selepas itu.

Malah, kerana persembahan cemerlang pada keduadua kejohanan itu, beliau diserapkan ke dalam skuad elit daripada skuad pelapis, sebaris dengan pelumba kebangsaan yang lain seperti Mohd Azizulhasni Awang, Mohd Rizal Tisin, Mohd Edrus Yunus dan Josiah Ng.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohammad kagum dengan prestasi pelumba itu yang mempunyai minat dan kesungguhan yang tinggi.

"Tujuan asal PKBM menghantar ke Moscow adalah bagi tujuan pendedahan namun beliau telah mempamerkan persembahan yang memberansangkan dengan memenangi gangsa.

"Malah, sikap peribadi beliau yang mempunyai sasaran memenangi emas di ACC walaupun gagal adalah sesuatu yang bagus.

"Tugas kami akan lebih mudah apabila perlumba itu sendiri bersikap demikian," katanya. BERNAMA

Artikel Lain