suria

Shahruddin ungguli Kejohanan Kuda Lasak Pahang Endurance 2009

KUANTAN: Shahruddin Abdullah, penunggang pasukan Blue Moon, mengungguli 27 pencabar lain untuk menjuarai kategori 100 kilometer kejohanan kuda lasak, Pahang-PENN Endurance 2009 di Pahang International Endurance Park dekat sini, hari ini. Shahruddin berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 7 jam 25 minit dan 7 saat mengatasi Wan Mohd Kamaluddin Wan Yusuff dari pasukan Moro Deuz yang mencatat masa 7 jam 29 mint 8 saat.

Tempat ketiga pula dimenangi Muhammad Zaini Saad dari pasukan Ropadi Bal Tazar dengan masa 8 jam 35 minit 57 saat.

Yang di Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menjuarai kejohanan itu pada tahun lepas bagaimanapun tidak dapat meneruskan cabaran apabila kuda tunggangan baginda "Tarjari Moonlight Pharoah" mengalami gangguan kesihatan.

Sementara keduadua anakanda baginda iaitu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Nadhirah Zahrah yang turut serta dalam kategori sama menarik diri selepas berjaya melepasi tunggangan sejauh 70km.

Pencapaian berkenaan merupakan rekod tunggangan terbaik yang dilakukan oleh keduadua anakanda Tuanku Mizan dengan catatan sebelum ini sejauh 60km.

Sementara itu, Norlaily Buniyamin yang mewakili pasukan Bremervale Jessie James, muncul juara kategori 60km dalam masa 4 jam 30 minit 32 saat.

Tempat kedua dan ketiga dimenangi Mohd Shahlan Hamzi Mohd Noor dari Mater Scaff Endurance (4:42:17) dan Haris Zulhkiple Navaronne dari WP Equestrian Team (4:50:26).

Kategori 20km pula dimenangi Amir Ghani Ahmad dari ArRaudhah Equine Centre (1:16:27) manakala tempat kedua dan ketiga diraih penunggang pasukan Al Iskandari Equine Park iaitu Mohd Fazlee Marzuki (1:25:15) dan Mohd Anif Mohd Nawi. BERNAMA

Artikel Lain