suria

Atlet olahraga gagal lepasi kelayakan ke Sukan Sea Laos

KUALA LUMPUR: Harapan tinggi yang disandarkan kepada beberapa atlet kebangsaan untuk melepasi had kelayakan ke Sukan SEA Laos Disember ini ternyata meleset pada hari pembukaan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke86 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Tiada atlet negara layak dalam kategori A iaitu melepasi masa kelayakan yang telah ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) termasuk dalam acara 100 meter lelaki.

Acara berkenaan dimenangi oleh juara bertahan Sukan SEA Korat 2007, Suryo Agung Widiwo dari Indonesia dengan dengan catatan masa 10.43s.

Pelari kebangsaan, Mohd Noor Imran Ahadi, yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekadar berpuas hati di tempat ketujuh dengan catatan 10.81s, jauh ketinggalan dari masa kelayakan 10.33s.

Kali terakhir Malaysia memenangi acara itu adalah menerusi Nazmizam Mohammad di Hanoi, Vietnam pada 2003 di mana atlet kelahiran Terengganu itu turut mengungguli acara 200 meter.

Acara 110 meter lari berpagar lelaki juga gagal memberi keceriaan kepada Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) walaupun atlet kebangsaan Mohd Faiz Mohammad mengungguli acara itu.

Atlet berkenaan, yang mewakili ATM, sekadar mencatatkan masa 14.20s, ketinggalan jauh dari masa kelayakkan iaitu 13.95s manakala dua lagi atlet Mohd Robbani Hassan dan Ramzam Syah Wan Sofian menarik diri setelah mengalami kecederaan di peringkat separuh akhir.

Mengulas mengenai kekecewaan dalam dua acara itu, ketua jurulatih kebangsaan, Hanafiah Nasir berkata kini terpulang kepada jawatankuasa pemilihan KOAM untuk menilai atlet yang layak untuk dipertimbangkan dalam kategori B.

Katanya pada acara 110 meter lari berpagar, misalnya Ramzan dan Mohd Robbani wajar dipertimbangkan ke Sukan SEA kerana catatan terbaik mereka adalah yang terbaik di Asia Tenggara tahun ini.

Bagi tahun ini, Ramzan, yang merupakan juara bertahan acara itu, pernah mencatatkan masa 13.98s manakala Mohd Robbani melakukan 14.13s ketika Terbuka Taiwan, Julai lepas.

"Cuma apa yang diharapkan sekarang kecederaan yang dialami mereka tidaklah serius namun saya akan merujuk keduadua atlet ini kepada Institut Sukan Negara (ISN) Isnin ini untuk mengetahui tahap kecederaan mereka," katanya Hanafiah.

Setakat ini, lapan atlet telah pun layak dalam kategori A iaitu ialah S.Mathialagan (800m), Yuan Yu Fang, Lo Choon Sieng, Teoh Boon Lim (20km jalan kaki), Lee Hup Wei (lompat tinggi), Mohd Hafizuddin Shahadan (lompat bergalah), M.Vadivellan (800m, 5000m, 1500m), Chan Woo Yew (maraton), Noraseela Mohd Khalid (400m berpagar), Roslinda Samsu (lompat bergalah), Tan Song Hwa (baling tukul besi).

Atlet di bawah kategori A akan ditanggung sepenuh perbelanjaan mereka oleh MOM sementara atlet di bawah kategori B perlu menanggung sendiri segala perbelanjaan tetapi MOM akan membayar kembali jika atlet itu membawa pulang sekurang-kurangnya pingat perak.

Kejohanan dua hari itu merupakan medan terakhir bagi atlet kebangsaan melepasi masa kelayakan ke Sukan SEA Laos. BERNAMA

Artikel Lain