suria

Zulmazran, Siti Safiyah buru kejuaraan boling dunia di Melaka

KUALA LUMPUR: Dua pemain boling utama Malaysia Zulmazran Zulkifli dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman meletakkan sasaran tinggi untuk menjuarai Piala Dunia Boling QubicaAMF ke45 yang akan diadakan di Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC) di Ayer Keroh bermula 14 hingga 21 November.

Zulmazran, juara Terbuka Malaysia dan Indonesia tahun ini, berkata beliau akan memberikan aksi yang terbaik untuk memperbaiki kedudukan tempat ketiga dalam acara lelaki yang dicapainya pada kejohanan itu di Hermosillo, Mexico tahun lepas.

Pemain berusia 26 tahun itu menjangkakan saingan sengit berikutan 94 negara peserta menghantar pemain terbaik mereka.

" Saya akan berikan prestasi terbaik saya untuk muncul juara kerana kejohanan kali ini diadakan di negara sendiri. Oleh itu, saya kena kekal fokus dan berazam untuk menang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Siti Safiyah, yang muncul juara pada kejohanan Ranking Masters Dunia di Naples, Itali pada Mei lepas pula berazam untuk muncul juara acara wanita.

"Saya kena berlatih dengan lebih kuat lagi dan terus fokus jika mahu muncul juara," kata Siti Safiyah yang kini merupakan pemain nombor satu Asia.

Kejohanan itu yang diadakan kali kedua di Malaysia selepas kali pertama pada 1987, dianjurkan oleh MIBC dan diiktiraf oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia. Pengerusi penganjur kejohanan Datuk Abdul Karim Sulaiman berkata kejohanan itu diadakan bagi mempromosikan pelancongan sukan serta Melaka sebagai bandaraya bersejarah. BERNAMA

Artikel Lain